Fokus

‘Putrajaya is not just a town’

ILUSTRASI cadangan pembinaan tangga.
- Diterbit 11 September 2021 2:02 AM MYT

SELAIN dilihat sebagai pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga merupakan antara destinasi wajib singgah bagi pelancong yang datang dari luar mahupun dalam negara.

Kelebihannya bukan sahaja terletak pada keunikan reka bentuk serta keindahan ukiran bangunan dan jambatannya, bahkan keindahan lanskap taman dan tasik turut memberi kepuasan kepada
pelancong.

Terkini, Putrajaya bakal diserikan dengan tarikan terbaharu iaitu Tangga Putrajaya Steps yang diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik yang mahsyur di dunia.

Mengakui hal tersebut, salah seorang warga komuniti Putrajaya, Zainudin Malek berkata, Putrajaya bukan sekadar bandar biasa (Putrajaya not just a town) ia diibaratkan seperti jantung Malaysia.

“Ia adalah lambang inspirasi Malaysia untuk meletakkan negara kita ini sebagai salah satu tamadun Melayu yang hebat dan terkenal di dunia setara dengan negara negara lain,” ujar beliau kepada
Wilayahku.

ZAINUDIN

Kata beliau, lokasi tangga tersebut yang strategik di Taman Putra Perdana di mana terletaknya dua buah bangunan ikonik Putrajaya iaitu Istana Melawati dan Hotel Pulse Grande dilihat amat
sempurna.

“Prasarana berkonsepkan pelancongan rekreasi dan aktiviti riadah di Putrajaya sudah semestinya akan menjadi tumpuan ramai. Lebih-lebih lagi persekitaran taman yang penuh kehijauan mampu memberikan ketenangan kepada setiap pengunjung,” ujar bekas Penolong Pegawai Perancang Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj) ini lagi.

Tambah beliau lagi, diharapkan dengan pembinaan tersebut yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi, ia akan menjadi nilai tambah eko pelancongan yang berharga bagi Putrajaya.

Malah beliau juga yakin ciri-ciri pembinaannya adalah seimbang dari segi hubungan antara Pencipta dan manusia, manusia dengan manusia serta manusia dan alam sekitar. Tiga komponen utama itu amat penting untuk membentuk Putrajaya menjadi salah satu bandar yang akan membawa kebanggaan kepada warga Putrajaya dan Malaysia.

“Saya juga berharap agar pembinaan tersebut diselitkan dengan ciri-ciri tradisional kerana bagi saya reka bentuk adalah amat penting. Sebagai contoh, ciri senibina tangga Melaka yang terkenal sejak zaman berzaman yang merupakan antara elemen dalam masyarakat Melayu yang tak pernah lapuk dek zaman.

TANGGA Putrajaya Steps bakal jadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

“Putrajaya adalah mercu tanda keagungan bangsa Malaysia. Lebih 20 tahun Putrajaya dibangunkan. Banyak lagi perkara yang perlu dicapai dari pelbagai segi. Semuanya tidak mustahil untuk dicapai. Hari ini membuktikan Putrajaya dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi dunia,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, diharapkan fasiliti yang ada sentiasa dijaga dengan baik bukan sahaja oleh pihak bertanggungjawab bahkan masyarakat juga perlu peka dengan keadaan sekeliling.

“Bukan mudah untuk membangunkan satu bandar yang terancang seperti ini. Jadi, sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya amat menghargai semua yang ada di sini dan berusaha untuk mempertahankannya. Tidak kira siapa pun kita namun jika ada sikap bertanggungjawab maka semuanya akan terjaga dengan sempurna,” ujar beliau lagi.

REAKSI

“TANGGA Putrajaya Steps yang dibangunkan ini amatlah baik kerana selain menjadi tumpuan pelancong, ia juga bakal menjadi ikon baharu Putrajaya. Sejujurnya saya juga tidak sabar untuk berkunjung ke sana apabila ia dibuka kelak.” ASYRAF SUID, 27 Petani

ASYRAF

“SEMESTINYA ia menjadi salah satu tarikan pelancong dari luar negara lebih-lebih lagi ia terletak di bulatan paling besar di Malaysia. Selain itu, kita dapat melihat pemandangan yang cantik di sekitar Putrajaya.” AMIR AMRAN, 23 Pembantu Produksi

AMIR

“SAYA sangat berbangga dengannya dan bakal menjadikan ia tempat yang wajib dikunjungi tambahan pula laluan saya untuk ke pejabat akan melalui Putrajaya Steps ini. Meskipun masih dalam proses pembinaan namun saya sudah menjadikan ia lokasi tumpuan wajib saya.” AISYAH NATASHA, 23 Pereka Dalaman

AISYAH

“SAYA baru sahaja mengetahui tentang ikon baharu ini melalui laman Twitter Putrajaya. Putrajaya bakal mempunyai satu daya tarikan baharu yang sesuai dikunjungi bersama keluarga untuk melakukan aktiviti riadah, mengambil gambar dan sebagainya.” SITI NUR AAINAA NAJIHAH SAIDIN, 24 Eksekutif Swasta

SITI
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas