Berita

Putra Point jadi hab promosi produk usahawan

PRODUK busana yang dijual di Putra Point, Presint 16, Putrajaya.
- Diterbit 1 November 2019 6:34 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto FARIS AZMI (Jurufoto PPj)

PUTRAJAYA – Bagi mempromosi dan meningkatkan hasil jualan produk bumiputera, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan ruang pameran di Putra Point di Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini sejak tahun lalu.

Pengarah Bahagian Per­khidmatan Komuniti, Rosli Abdul Talib berkata, Putra Point dikenali sebagai hab promosi usahawan khususnya peniaga atas talian yang tidak mempunyai pejabat dan menjalankan perniagaan di rumah.

Jelas beliau, usahawan yang terlibat adalah mereka yang menyertai program Program Ekonomi Bumiputera (PEB) yang dianjurkan bermula tahun lalu.

“Matlamat utama pusat ini diwujudkan adalah untuk menyediakan platform dan pusat bagi peserta PEB mempamer dan memasarkan produk keluaran mereka.

Katanya, mereka berdaftar di bawah Kelab Kusahawanan Putrajaya (Kuputra).

“Secara umumnya pusat ini menyokong kepada perniagaan di rumah yang mana aktiviti pengeluaran dijalankan di rumah manakala aktiviti pemasaran dilakukan secara berkumpulan di Putra Point.

“Di situ, pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan antaranya pakaian, aksesori rumah, produk makanan, perkhidmatan spa dan urutan tradisional,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Rosli, Putra Point juga dijadikan sebaga pusat sehenti bagi mendapatkan segala informasi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di Putrajaya.

Ujarnya, Kuputra akan bertindak sebagai pihak yang menguruskan operasi Putra Point manakala PPj menjadi badan pemantau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas