Berita

Terap pemikiran inovatif, kreatif

KAKITANGAN PLANMalaysia bergambar dengan replika cek setelah menjuarai kategori Dokumentasi Produk Jabatan pada Pertandingan Inovasi baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2019 6:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Dalam menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks berikutan perubahan sosial serta ekonomi dunia, pegawai perancang bandar perlu lebih inovatif dan kreatif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr Mohd. Anuar Maidin berkata, pegawai perancang bandar dan desa perlu mengubah minda dari pemikiran konvensional kepada pemikiran kreatif serta inovatif.

“Membudayakan inovasi dalam perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada gerakan transformasi sektor awam oleh pihak kerajaan.

“Inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam merupakan agenda penting menjelang tahun 2020.

“Mana-mana organisasi yang tidak mengamalkan inovasi sebagai budaya organisasi itu akan dipintas dan akhirnya ketinggalan dalam dunia yang semakin mencabar,” ujarnya pada Sambutan Hari Inovasi PLANMalaysia 2019 di sini baru-baru ini.

Mohd. Anuar berkata, PLANMalaysia perlu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan perancangan bandar dengan lebih baik dan berkesan untuk kepentingan bersama sekali gus mensejahterakan rakyat.

Mengulas tentang sambutan Hari Inovasi PLANMalaysia, ujar beliau, ia diadakan bagi menggalakkan perkongsian pintar, amalan-amalan terbaik dan menerapkan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga PLANMalaysia.

“Bagi mengiktiraf sumbangan warga PLANMalaysia dalam penghasilan idea kreatif dan inovatif, pada tahun ini, PLANMalaysia telah menambah dua kategori baharu iaitu pertandingan inovasi untuk Analisis Pelbagai Kriteria (MCA) dan pertan­dingan Instafamous,” ujarnya.

Terdahulu sebanyak 47 kumpulan dan 21 individu merangkumi 248 warga PLANMalaysia telah menyertai pertandingan inovasi yang berlangsung baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas