Berita

CCB buka cawangan di Labuan

BOON CHYE (lima dari kanan) bergambar bersama Zhihong (tengah) selepas majlis perasmian pembukaan China Construction Bank cawangan Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2019 6:49 AM MYT

LABUAN – Bank kedua terbesar dunia, China Construction Bank (CCB) membuka cawangan pertamanya di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LIBFC) baru-baru ini.

Menurut Utusan Khas Kerajaan Malaysia ke China, Tan Kok Wai, kedudukan startegik Labuan yang menghadap Laut China Selatan, merupakan lokasi yang ideal.

“Pembukaan cawangan ini boleh memudahkan penyediaan dana untuk projek infrastruktur dan meningkatkan kedudukannya sebagai hab kewangan di rantau ini.

“Ia juga dapat meningkatkan kerjasama kewangan dua hala antara Malaysia dan China selain membantu menambah pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif CCB, Ji Zhihong menegaskan, Malaysia menyokong Inisiatif Jalur dan Jalan yang dicadangkan China kerana hubungan dua hala yang kuat telah memudahkan perkembangan dan pembangunan rentas sempadan dalam pelbagai sektor.

“Pada 2016, CCB telah menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia, CCB Malaysia Berhad. Ia diberi penghormatan untuk menubuhkan cawangan di LIBFC dan dengan ini, CCB adalah satu-satunya perusahaan China yang telah menubuhkan dua institusi peringkat pertama di Malaysia.

Jelasnya lagi, CCB Cawangan Labuan juga telah dianugerahkan dengan perbankan digital pertama dan lesen bank penjelasan (RMB).

“Semua pencapaian ini mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan kerajaan Malaysia terhadap keupayaan CCB,” katanya.

Bagi Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Danial Mah Abdullah pula, pembukaan cawangan CCB di Labuan adalah bukti bahawa reputasi LIBFC merupakan pilihan utama bagi pemain global.

“Dengan kepakaran LIBFC sebagai penyedia perkhidmatan dan khidmat nasihat, ia jelas menunjukkan Labuan merupakan destinasi terbaik untuk bank-bank luar pesisir membuka operasi di sini,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye; Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas