Berita

Putin pelawa menteri luar Azerbaijan, Armenia adakan rundingan damai

- Diterbit 9 Oktober 2020 8:20 AM MYT

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin mengundang menteri luar Azerbaijan dan Armenia ke Moscow untuk mengadakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu.

“Presiden Rusia menggesa pertempuran di Nagorno-Karabakh dihentikan atas faktor kemanusiaan,” memetik kenyataan pejabat presiden (Kremlin).

Kenyataan itu berkata Putin telah mengadakan beberapa siri perbincangan menerusi telefon dengan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan.

Difahamkan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov akan bertindak sebagai perantara rundingan damai itu.

Hubungan antara dua negara bekas republik Soviet itu tegang sejak 1991 ketika tentera Armenia menduduki Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa.

Pertempuran baharu meletus pada 27 September dan gesaan antarabangsa supaya pertempuran ditamatkan tidak diendahkan.

Kumpulan Minsk OSCE – dipengerusikan bersama Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat – dibentuk pada 1992 untuk mencari penyelesaian secara aman, tetapi menemui jalan buntu. Bagaimanapun, genjatan senjata disepakati pada 1994. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas