Berita

Kes tikam: Polis tahan suspek kes bunuh pengawal keselamatan

Arrested man in handcuffs with hands behind back
- Diterbit 9 Oktober 2020 8:17 AM MYT

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri perumahan awam di Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada kira-kira 8 malam tadi di sebuah kawasan perumahan awam tidak jauh dari tempat kejadian.

“Siasatan polis mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah iaitu curi dan ugutan jenayah selain tujuh kes membabitkan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan, sementara ujian saringan air kencing mendapati suspek yang kini direman tujuh hari, negatif dadah.

Semalam, Bernama melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemukan mati akibat ditikam dengan objek tajam dalam satu kejadian pertengkaran dengan seorang individu lain di sebuah perumahan awam di Cheras. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas