Berita

Pusat penjaja D’Laman Rasa mula beroperasi Oktober ini  

SHAHIDAN (kiri) ketika Majlis penyerahan Kunci dan Lesen Perniagaan buat penjaja di Pusat Penjaja D'Laman Rasa hari ini.
- Diterbit 29 September 2021 1:16 PM MYT

PUSAT Penjaja Pekan Sungai Besi @ D’Laman Rasa akan memulakan operasi Oktober ini setelah peniaga menerima kunci serta lesen perniagaan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pusat penjaja ini akan menempatkan semula penjaja-penjaja tepi jalan sekitar Pekan Sungai Besi.

“Pusat penjaja ini menempatkan semula penjaja-penjaja tepi jalan sekitar Pekan Sungai Besi dan mereka yang beroperasi di hadapan Pasaraya Hari-Hari.

“Sebahagian besar mereka ini terlibat dengan projek pengindahan dan pelebaran jalan di pekan ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Lesen Perniagaan buat Penjaja D’Laman Rasa di Sungai Besi di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Anwar Md Zain.

Shahidan berkata, kadar sewaan telah ditetapkan di antara RM240 hingga RM300 sebulan dan pengecualian bayaran sewa turut diberikan sehingga Disember 2021.

“Pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus turut diberikan kepada peniaga-peniaga terlibat,” katanya.

Menurut Shahidan, projek Pusat Penjaja D’Laman Rasa ini telah dimulakan pada tahun 2016 dan siap sepenuhnya pada tahun ini.

“Pusat penjaja ini juga mempunyai kira-kira 64 unit gerai dengan menyediakan kemudahan ‘Kitchen Hood’, tandas, surau, rumah sampah dan tempat letak kereta,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar pusat penjaja ini dapat memberikan keselesaan bukan sahaja kepada penjaja untuk berniaga tetapi juga kepada pengunjung.

“Ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti mutu perniagaan dan juga hasil jualan kepada penjaja tersebut,” katanya. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas