Alam Flora terapkan amalan kitar semula dalam pertandingan fesyen

Alam Flora terapkan amalan kitar semula dalam pertandingan fesyen

DEMI meneruskan usaha untuk menyemai amalan 5R dalam kalangan masyarakat, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) telah mengambil langkah proaktif menerusi acara tahunan ikonik mereka, Waste Is Amazing iaitu sebuah pertandingan reka fesyen dari bahan kitar semula.

5R yang dimaksudkan adalah ‘reduce’ (pengurangan); ‘reuse’ (guna semula); ‘recycle’ (kitar semula)’ ‘refuse’ (menolak) dan ‘recover’ (pemulihan)

Dengan menggunakan tema Paper Couture, pertandingan fesyen yang unik ini telah memasuki tahun ke-9 dan pelbagai idea yang kreatif dan luar biasa telah dipertonjolkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, pemilihan kertas sebagai bahan utama pada rekaan fesyen pada tahun ini disebabkan kajian Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan kertas adalah bahan buangan ketiga terbesar selepas sisa makanan dan plastik.

“Melalui pertandingan ini, kita menggalakkan dan mengenengahkan penjagaan serta kelestarian alam sekitar melalui rekaan fesyen.

“Ia adalah langkah proaktif dalam meneruskan usaha kami untuk menyemai amalan 5R,” katanya pada sidang media secara maya, baru-baru ini.

Mohd. Zain menambah, Alam Flora menganjurkan pertandingan reka fesyen dari bahan kitar semula itu sebagai langkah menyokong aspirasi kerajaan mengurangkan sebanyak 40 peratus sisa boleh dikitar semula, dibuang ke tapak pelupusan menjelang tahun 2025.

Beliau berkata, dengan menggunakan tema ‘Paper Couture’, pertandingan itu mendapat sambutan luar biasa membabitkan penyertaan lebih daripada 80 peserta.

Katanya, seramai 20 pereka amatur terpilih daripada pelbagai latar belakang bagi menunjukkan kreativiti mereka dalam rekaan pakaian secara maya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi mencapai matlamat ini, Alam Flora mempertingkatkan usaha menjangkau pengurusan sisa terutama membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat dan ‘Waste is Amazing’ adalah salah satunya.

“Walaupun pelbagai halangan akibat pendemik Covid-19, kami masih menerima sambutan penyertaan luar biasa dari seluruh Malaysia.

“Ini jelas menunjukkan karya itu tidak mengenal batasan dan sekali gus penerimaan terhadap budaya kitar semula semakin di terima terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertak iaitu Nor Farizan Jawahir dinobatkan sebagai Juara dalam pertandingan fesyen Waste Is Amazing.

Dalam pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula, Waste Is Amazing tahun ini, juara disandang oleh Pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertak iaitu Nor Farizan Jawahir.

Farizan membawa pulang wang tunai RM1,000, e-sijil penyertaan, 10,000 mata ganjaran Mesra Petronas dan tifin edisi khas Alam Flora.

Tempat kedua pula dimenangi Muhammad Danish Saiful Rizal dari Management Science Universiti (MSU) dan ketiga Wan Rahman Muhammad Izzuan Abdul Rahman dari Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Pemenang kedua menerima hadiah RM800 wang tunai, e-sijil penyertaan, 5,000 mata ganjaran Mesra Petronas dan tifin edisi khas Alam Flora manakala pemenang ketiga menerima wang tunai RM500 bersama 3,000 mata ganjaran Mesra Petronas, tifin edisi khas Alam Flora dan e-sijil penyertaan.

Pertandingan itu diadili juri profesional termasuk pereka fesyen terkemuka Hatta Dolmat dan penyanyi terkenal, Sissy Imann. – WILAYAHKU

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )