Berita

DBKL tutup 19 pasar awam untuk disinfeksi

PROSES Disinfeksi dilakukan bagi mematikan virus Covid-19.
- Diterbit 25 Mac 2020 7:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup secara serentak kira-kira 19 buah pasar berbangunan miliknya bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 malam ini bagi memberikan lakuan kepada kerja-kerja diinfeksi.

DBKL dalam satu kenyataannya berkata, langkah itu merupakan satu inisiatif pihaknya bagi mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memastikan fasiliti berkenaan lebih bersih dan selamat untuk dikunjungi.

“Ops Bersih ini dijalankan serentak di seluruh pasar awam seluruh Kuala Lumpur dan melibatkan penutupan operasi pasar-pasar berkenaan selama satu hari bagi kerja-kerja pembersihan dan pencucian menyeluruh sebelum aktiviti diinfeksi dijalankan.

“Ops ini diselaraskan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dengan kerjasama Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn. Bhd dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja serta dikawalselia oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, panduan berkaitan kaedah larutam nyahkuman atau diinfeksi telah diberikan kepada setiap kontraktor pembersihan pasar-pasar tersebut.

 

DBKL memasang pita kuning menandakan kawasan pasar ditutup sementara bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja disinfeksi untuk mencegah penularan Covid-19.

Pasar-pasar yang terlibat di Parlimen Batu adalah Pasar Harian Selayang (11 pagi hingga 10 malam); Pasar Sentul, Pasar Batu 5 dan Pasar Batu 2 1/2 manakala Parlimen Titiwangsa, Pasar Raja Bot (Chow Kit) dan Pasar Wirawati.

Bagi Parlimen Wangsa Maju pula adalah Pasar Genting Kelang; Pasar dan Pusat Penjaja Seksyen 2, Wangsa Maju manakala Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail di Parlimen Segambut.

Pasar yang terlibat di Parlimen Seputeh adalah Pasar Klang Lama manakala Parlimen Bandar Tun Razak melibatkan Pasar Pekan Sungai Besi; Pasar Alam Damai; Pasar Besar Cheras dan Pasar Ikan Emas.

Turut disinfeksi ialah Pasar Taman Sri Sentosa di Parlimen Lembah Pantai dan tiga buah pasar di Parlimen Cheras iaitu Pasar Pudu; Pasar Taman Cheras dan Pasar Jalan Lengkuas serta sebuah pasar di Parlimen Bukit Bintang iaitu Pasar Pekan Salak Selatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas