Berita

Penghuni ketiga bangunan digesa beri kerjasama

- Diterbit 7 April 2020 1:30 PM MYT

KUALA LUMPUR – Penghuni bangunan Plaza One City, Selangor Mansion dan Malayan Mansion diminta memberi kerjasama kepada semua petugas termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan ujian saringan Covid-19.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP), Tan Sri TPr. Annuar Musa, ujian tersebut dilakukan ekoran daripada pertambahan kes jangkitan Covid-19 di ketiga-tiga kawasan yang diletakkan di bawah zon merah tersebut.

“Saya mohon dengan rendah diri agar semua penghuni memberikan kerjasama kepada petugas kerana kita perlu buat ujian yang banyak lagi,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, pada hari ini sahaja, hanya 300 daripada 8,000 penghuni yang terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Pakistan menjalani ujian berkenaan.

“Terdapat kes penghuni melarikan diri daripada unit masing-masing. Saya ingin bagi nasihat supaya tidak berbuat demikian kerana jika ia berlaku ada kemungkinan anda akan membawa jangkitan ke luar sekali gus menjadikan penyebaran lebih luas lagi.

“Perlu difahami, kita bukan nak buat apa-apa cuma ingin menjalankan pemeriksaan untuk memastikan kawasan tersebut selamat daripada Covid-19 sahaja,” tegasnya.

Dalam pada itu, ujar Annuar, semua kedai dan premis di sekitar kawasan tersebut akan ditutup untuk proses disinfeksi secara besar-besaran esok.

“Kita sudah arahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyembur semua kawasan tersebut sama ada di luar dan di dalam koridor serta ketiga-tiga lobi di menara tersebut.

“Pohon berikan kerjasama tolong tutup kedai dan pasar raya untuk memudahkan gerakan membersih kawasan tersebut esok,” kata Annuar.

Mengulas tentang seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangkiti Covid-19, Annuar berkata, ia mungkin merupakan petanda kawasan tersebut memiliki bentuk penularan wabak.

“Walaupun anggota tersebut tidak bertugas di pondok kawalan polis di bangunan tersebut namun dia didapati positif maka kawasan tersebut memerlukan tindakan susulan yang lebih lagi,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas