Berita

PUSARA: Sumbangan peralatan, kewangan diperlukan bagi mudahkan urusan

TROLI dan kain kapan antara yang diperlukan bagi pengurusan jenazah pada masa ini.
- Diterbit 8 Ogos 2021 1:00 AM MYT

PUSAT Pengurusan Jenazah Sementara (PUSARA) yang mengendalikan jenazah COVID-19 memerlukan sumbangan berbentuk peralatan pengurusan jenazah bagi melicinkan lagi operasi harian mereka.

Pengarah Operasi PUSARA, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, antara kelengkapan yang diperlukan adalah bekalan kain kapan dan troli untuk membawa jenazah.

“Walaupun kita tahu jenazah COVID-19 tidak dikapankan, tetapi jenazah ini diletakkan di dalam beg-beg mayat dan ia kadangkala kotor atau koyak.

“Jadi apa yang kami lakukan adalah dengan membalut beg mayat itu dengan kain kapan supaya ia lebih cermat, teratur dan boleh diterima keluarga serta memberikan keselesaan kepada petugas sewaktu mengangkat jenazah dan juga ketika proses pengebumian di tanah perkuburan,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Katanya, pihak PUSARA juga memerlukan lebih banyak troli mayat dan pada masa ini bekalannya sukar didapati daripada pihak pembekal.

“Ia disebabkan banyak tempat yang memerlukan troli tersebut. Jika ada dermawan yang boleh menyumbangkannya kepada kami, itu lebih bagus,” katanya.

Ahmad Hafizam berkata, walaupun kebanyakan kelengkapan dibekalkan kerajaan, namun bantuan daripada orang ramai amat digalakkan untuk bersama-sama berganding bahu dalam memerangi COVID-19.

“Kita tahu perlatan ini dibekalkan pihak kerajaan tetapi ada masanya kita berpendapat masyarakat juga boleh menyumbang dan membantu.

“Jadi jika ada orang perseorangan dan dermawan yang ingin menyumbang, mereka boleh menyerahkannya kepada PUSARA dan sumbangan kain-kain kapan itu boleh digunakan untuk pengurusan jenazah muslim,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan untuk kebajikan dan kegunaan sukarelawan di PUSARA yang berbentuk dana kewangan serta makanan tambahan

“Petugas-petugas ini merupakan kakitangan kerajaan dan majoritinya juga adalah sukarelawan PRiVO yang terpaksa melakukan tugas berat serta berisiko.

“Mereka perlu mengendalikan jenazah atau mayat dari proses mengambil, mengangkat dan mengalih jenazah daripada Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke PUSARA.

“Semestinya memerlukan tenaga yang kuat dan ia dijalankan dengan memakai peralatan pelindungan diri (PPE) yang penuh dan bekerja sepanjang masa termasuklah dalam keadaan panas,” katanya.

Justeru itu, katanya, kebajikan para petugas adalah sangat penting kerana kebanyakan sukarelawan di sini memberikan khidmat dan tenaga bakti secara rela hati serta beban kerja yang dipikul oleh sukarelawan ini ketika mengendalikan jenazah dan perlu setimpal dengan apa yang dicurahkan.

“Jika ada badan-badan yang boleh menyalurkan bantuan kewangan dan orang perseorangan yang boleh memberikan bantuan kewangan, maka kita boleh kumpulkan dana ini dan beri kepada setiap sukarelawan yang berkhidmat di PUSARA.

“Kita juga ingin mendapatkan pakaian yang bersesuaian untuk semua petugas agar mereka selesa sewaktu menjalankan operasi di sini,” katanya.

Ujar Ahmad Hafizam, pihaknya turut memerlukan sumbangan makanan dan makanan tambahan seperti power bar atau air isotonik yang boleh memberikan kelegaan dan kesegaran kepada petugas di lapangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas