Berita

4 FILEM KAPAL TERBANG YANG WAJIB DITONTON

GAMBAR: Maskulin GAMBAR: Maskulin
- Diterbit 8 Ogos 2021 2:00 AM MYT

MINGGU ini genap lebih 500 hari kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi kaki mengembara pastinya rindu untuk menaiki kapal terbang dan melancong ke luar negara seperti sebelum ini. Pelbagai filem yang berkaitan dengan kemalangan pesawat juga boleh menjadi hiburan dan juga aspek positif ketika belajar dalam kehidupan sebenar. Edisi kali ini, Wilayahku akan berkongsi empat filem menarik yang boleh ditonton bagi anda menghilangkan kerinduan menaiki pesawat.

#1 Blood Red Sky

Pengarah: Peter Thorwarth
Pelakon: Peri Baumeister, Alexander Scheer

MENCERITAKAN seorang vampire yang melindungi anaknya dari ancaman sekumpulan pengganas yang merampas penerbangan malam transatlantik. Akibatnya, seorang wanita misteri yang sedang sakit mesti membongkar rahsia besar untuk menyelamatkan anaknya. Elias dan ibunya, Nadja menaiki pesawat ke New York. Namun, beberapa minit setelah berlepas, pesawat tersebut dirampas sekumpulan pengganas yang berkomplot untuk membunuh juruterbang. Elias yang mengalami ketakutan cuba untuk menyembunyikan diri ke dasar kapal terbang dan ketika ibunya cuba mengejar salah seorang pengganas telah melepaskan tembakan. Dalam kekecohan yang berlaku, mayat Nadja berubah menjadi vampire dan menyebabkan suasana di dalam pesawat semakin huru-hara. Apakah yang akan berlaku kepada Elias serta penumpang yang lain? Saksikan Blood Red Sky di Netflix anda sekarang.

#2 The Captain

Pengarah: Andrew Lau
Pelakon: Zhang Tian Yang, Zhang Hanyu, Lu Xian

THE Captain adalah filem Cina berdasarkan kisah benar mengenai kemalangan pesawat Sichuan Airlines Flight 8633 dari Chongqing ke Lhasa, Tibet. Filem ini mengisahkan tentang pengalaman penumpang dalam pesawat Airbus A319 milik Sichuan Airline yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan kerana kejadian mengerikan berlaku ribuan meter di atas langit membuatkan beratus penumpang di pesawat panik. Kapten harus berjuang dalam mencari tempat untuk mendaratkan kapal terbang memandangkan mereka berada di kawasan pergunungan, tidak mempunyai tanah yang landai untuk pendaratan darurat. Saksikan filem ini untuk mengetahui adakah anak kapal serta penumpang selamat melakukan pendaratan kecemasan atau sebaliknya.

#3 Okay! Madam

Pengarah: Lee Cheol-ha
Pelakon: Lee Sun-Bin, Uhm Jung-hwa, Lee Sang-yoon

OKAY! MADAM mengisahkan Mi-Young (Uhm Jung-hwa) yang mengendalikan sebuah kedai di pasar tradisional, di mana dia membuat dan mejual roti pilin. Suaminya, Seok Hwan (Park Sung Woong) bekerja sebagai pembaiki komputer. Suatu hari, Seok-hwan mememnangi lawatan percuma ke Hawaii. Mi Young dan Seok Hwan akan melakukan perjalanan antarabangsa pertama mereka bersama anak perempuannya. Ketika Mi Young dan Seok Hwan menaiki pesawat ke Hawaii, semuanya tidak berjalan seperti yang diharapkan. Sekumpulan pengganas, termasuk Cheol Seung (Lee Sang Yoon), yang mengejar ejen rahsia, menaiki pesawat yang sama. Para penumpang menjadi tebusan. Tiba-tiba, Mi Young dan Seok Hwan mula menyelamatkan penumpang yang lain. Mengapa pasangan ini tiba-tiba ingin menyelamatkan penumpang lain? Adakah mereka berjaya menyelamatkan kesemua penumpang?

#4 Fasten Your Seatbelt

Pengarah: Ha Jung-woo
Pelakon: Jung Kyung-ho, Kang Han-na, Ko Sung-hee

MA JOON-GYU (Jung Kyung-ho) merupakan seorang bintang terkenal yang menaiki kapal terbang dari Tokyo untuk ke Seoul, Korea. Pesawat yang dinaiki penuh penumpang serta kru kapal yang mempunyai pelbagai watak yang berbeza seperti pakar perdagangan, sami dan paparazzi. Keadaan menjadi tegang dan pelbagai peristiwa lucu berlaku apabila pesawat tersebut dilanda taufan dan berada dalam bahaya. Skandal, pertemuan kebetulan dengan penumpang kelas satu yang lain, sejarah masa lalu dengan pramugari dalam penerbangan dan taufan yang akan datang semuanya menimbulkan kekacauan sepenuhnya. Adakah Ma Joon-Gyu akan berjaya kembali ke Seoul?

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas