Berita

Pupuk nilai kasih sayang, keluarga

KHALID memimpin persembahan Orkestra Kuala Lumpur sebagai gimik pelancaran Konsert Sayangi Wilayahku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 2:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Konsert Sayangi WilayahKu yang dianjurkan sempena Festival Hari Wilayah di Dataran Merdeka di sini baru-baru ini berjaya menghibur warga kota yang membanjiri Dataran Merdeka bersama ahli keluarga masing-masing.

Hiburan terbuka penuh kemeriahan itu diiringi Orkestra Kuala Lumpur dan menampilkan gabungan artis-artis baharu dan evergreen tanah air.

Antara artis yang mengambil bahagian adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk David Arumugam yang terkenal dengan lagu ‘Kuala Lumpur’, Ameng Spring, Kaka Azraf dan kumpulan indie Kugiran Masdo.

Konsert yang dianggap sebagai acara pembuka tirai Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 dimulakan dengan acara gimik Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad memimpin Orkestra Kuala Lumpur.

Konsert tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian artis budaya DBKL yang mengisahkan beberapa elemen kebudayaan di seluruh Malaysia.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta ketua-ketua agensi di bawah kementerian.

Sementara itu, Khalid dalam ucapan perasmiannya berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan pada masa kini adalah untuk mendapatkan penyertaan orang awam dalam setiap program di lapangan.

“Melalui pentadbiran dan hala tuju yang jelas, ia dapat memberikan ruang dan peluang kepada rakyat dalam semua lapisan keterlibatan sekali gus dapat memupuk nilai kasih sayang atau sense of belonging terhadap Wilayah Persekutuan,” kata­nya.

Terdahulu pada sebelah petang, festival itu dimulakan dengan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) melibatkan 1,500 motosikal pelbagai kuasa (cc).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas