Berita

Harap dapat lihat sinar mentari

SUHANI mendukung Nor Farhana ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
- Diterbit 7 Februari 2020 2:21 AM MYT

KUALA LUMPUR – “Dalam tempoh tiga tahun, boleh dibilang dengan jari saya dapat keluar melihat sinar matahari,’’ cerita Suhani Zulkapli, 39, ibu kepada pesakit kanak-kanak, Nor Farhana Alisya Zaini, 3, yang menjalani rawatan di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak lahir.

Pada September lalu, anaknya itu dipindahkan ke wad di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (HWKKL). Ketika itulah dia berkesempatan melihat ‘waktu siang’ berbanding sebelum ini hanya terpaksa berlegar dalam ruang wad anaknya itu.

Menurut Suhani, anak keduanya itu menghidap sejenis penyakit usus yang kronik yang dihidapi sejak lahir di mana sistem serapan tidak berfungsi dengan normal.

“Nor Farhana dilahirkan secara normal di Hospital Selayang dan ketika berumur dua hari, dia terus dirujuk ke Institut Pediatrik HKL dan sekarang di hospital ini.

“Penyakit itu menyebabkan anak saya terpaksa bergantung kepada mesin Total Parenteral Nutrition (TPN) dan ubat-ubatan seumur hayat.

“Sejak dari itu, kami tidak pernah keluar dari hospital dan kehidupan kami dua beranak hanya berteman­kan doktor dan jururawat di sini,’’ ceritanya kepada Wilayahku.

Suhani berkata, kehidupannya hanyalah di dalam sebuah bilik kecil yang menempatkan mereka dua beranak dan berhubung dengan anak sulung serta ahli keluarga yang lain menerusi panggilan telefon.

“Saya amat bersyukur ke­rana suami mampu menjaga anak sulung yang kini berumur enam tahun secara sendirian sejak tiga tahun lalu.

“Ketika suami cuti, barulah saya ada kesempatan bertemu dengan anak sulung seminggu sekali dari pukul 4.30 petang hingga 7.30 malam,’’ katanya.

Ujar Suhani, dia amat berharap dapat kembali ke rumah namun keadaan membantutkan hasrat­nya memandangkan rumah sewa yang tidak sesuai buat anaknya itu.

“Sebuah bilik khusus perlu disediakan dan ia mestilah bebas daripada sebarang kekotoran selain perlu dilengkapi mesin TPN,’’ katanya.

Tambah Suhaini, suami­nya telah memohon unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur namun masih lagi dalam senarai menunggu.

Sementara itu, pesakit di HWKKL mendapat per­hatian Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang lakukan ziarah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 yang diketuai isteri Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Zaitun Abu Bakar.

Pada program itu, Zaitun berkata, pihaknya mengedarkan 100 hamper dan memberikan sumbangan untuk menceriakan anak-anak dan ibu bapa di hospital berkenaan.

Ujar Zaitun, pihaknya akan membantu keluarga Nor Farhana mendapatkan sebuah rumah PPR sebagai usaha bagi menyatukan mereka sekeluarga.

Turut serta dalam lawatan itu, isteri Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Suhaila Sukri @ Mohd. Salleh dan Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzzaman Mustapha.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas