Berita

Semoga Wilayah dilimpahi berkat

- Diterbit 7 Februari 2020 2:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 berjaya menampilkan elemen ke­keluargaan dan kerohanian yang begitu mendalam apa­bila ribuan orang ramai menghadiri program Prima Dakwah Wilayahku yang menampilkan sosok penceramah terkenal, Ustaz Abdul Somad di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini baru-baru ini.

Penceramah dari Riau, Indonesia tersebut berjaya memukau hadirin dalam ceramahnya yang santai bertajuk “Pembangunan Masyarakat Sejahtera: Mencontohi Nabi SAW Dalam Membangunkan Masyarakat Sejahtera Mengikut al-Quran Dan Sunnah.

Beliau turut mengetengahkan idea serta perkongsian dalam melahirkan sebuah masyarakat sejahtera yang seimbang dari segi spiritual dan fizikal dalam membentuk sistem kekeluargaan yang harmoni serta masyarakat madani.

Abdul Somad turut mengingatkan kepada jemaah untuk sentiasa merujuk kepada al-Quran agar kehidupan akan sentiasa berada dibawah rahmat Allah.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, penganjuran program keagamaan itu bertepatan dengan pelan tindakan Blueprint Masyarakat Sejahtera Perbadanan Putra­jaya (PPj) untuk mendidik komuniti Putrajaya yang berilmu, bermutu dan berbudi.

Turut hadir Timbalan Ke­tua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Sehari sebelum itu, kira-­kira 3,000 warga Wilayah Persekutuan membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi menyaksikan dengan lebih dekat penceramah tersebut.

Orang ramai sanggup ber­sila beramai-ramai bersama ahli keluarga mereka di atas padang itu bagi menghayati ceramah bertajuk ‘Mahabbah Rasulullah SAW Pemangkin Keharmonian Wilayah Per­sekutuan’ yang disampaikan Ustaz Abdul Somad.

Beliau mengajak warga kota agar sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan selari dengan prinsip Islam yang menekankan konsep ihsan dalam kehidupan.

Terdahulu program yang bermula seawal pukul 5.30 petang dimulai dengan bacaan Mawlid Dhiya Ulamie serta alunan qasidah.

Selepas itu, program diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah dan solat hajat untuk memohon keselamatan untuk negara daripada pelbagai ancaman dan wabak penyakit.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Ketua Penga­rah PLANMalaysia, Datuk Anuar Maidin; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud dan Penga­rah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail.

Majlis diakhiri dengan doa yang dibacakan Ustaz Abdul Somad dengan memohon agar Kuala Lumpur ini sentiasa dilimpahi keberkatan dan warganya hidup dalam aman dan sejahtera.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas