Atlet Wilayah

Pui Yee waspada elak cedera

PUI YEE beraksi dalam satu perlawanan di Bangkok, Thailand.
- Diterbit 4 September 2021 6:00 AM MYT

KECEDERAAN ketika bersukan adalah perkara biasa yang sering terjadi kepada atlet. Kebiasaannya ia berlaku secara mengejut dan melibatkan regangan ligamen mahupun otot.

Selain disebabkan kemalangan, tidak dinafikan kecederaan juga turut dikaitkan dengan faktor kecuaian diri sendiri.

Bagi atlet bola keranjang Wilayah Persekutuan, Chow Pui Yee, langkah berjaga-jaga amat perlu dititikberatkan atlet sama ada ketika latihan mahupun pertandingan.

“Saya pernah cedera di lutut ketika sedang menyertai kejohanan SUKMA 2018. Kecederaan tersebut berlaku ketika saingan separuh akhir. Disebabkan itu juga, saya tidak dapat menyertai perlawanan akhir.

“ Bayangkan bagaimana rasanya apabila tidak dapat turut serta pada saat yang ditunggu-tunggu. Walaupun sedih, namun saya terpaksa berundur kerana bimbang ia semakin melarat,” ceritanya.

Tambah atlet berusia 22 tahun ini lagi, dia mula dapat merasakan keadaan tidak selesa tersebut sebelum pertandingan lagi namun semangat yang ada dalam dirinya memaksa untuk dia mengendahkan rasa itu.

“Sepatutnya saya perlu lebih memikirkan keadaan kesihatan diri kerana jika terus memaksa diri akhirnya ia akan membawa padah,” ujarnya yang terpaksa cuti daripada sebarang aktiviti sukan selama satu tahun selepas itu.

Pui Yee turut menitipkan pesan kepada atlet mahupun sesiapa sahaja agar tidak memandang remeh kepentingan aktiviti pemanasan badan sebelum bersukan.

“Sentiasa memulakan rutin harian dengan memanaskan badan terlebih dahulu kerana ia penting bagi mengelakkan kecederaan dan meningkatkan prestasi diri yang lebih optimum,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian, Kuala Lumpur.

Berada di posisi penjaring, dia berhasrat untuk melayakkan diri ke Sukan SEA suatu hari nanti dan seterusnya membina kerjaya yang lebih kukuh dalam dunia sukan bola keranjang di Malaysia.

“Saya pasti dan yakin mampu bergelar atlet terbaik sedikit masa lagi. Disebabkan itu, saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mencapai hasrat tersebut,” ujar atlet yang mempunyai ketinggian 163 sentimeter ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas