Berita

Tindakan pantas PL tangani isu viral dipuji

|JALALUDDIN
- Diterbit 4 September 2021 6:16 AM MYT

TINDAKAN pantas Perbadanan Labuan (PL) menangani isu kerosakan bendera Jalur Gemilang mendapat pujian dari Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

JALALUDDIN

Menerusi perkongsian laman Facebooknya hari ini, Jalaluddin berkata, walaupun kawalan pergerakan masih dikawal namun semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat masih sama seperti dahulu.

Jelasnya, semua pihak harus berhati-hati dengan bendera yang rosak atau hilang identitinya sebagai lambang negara.

“Jangan dikibarkan Jalur Gemilang yang telah hilang identitinya,” katanya di halaman Facebook hari ini.

Peka terhadap isu sensitiviti itu, Jalaluddin mengucapkan syabas kepada Perbadanan Labuan yang telah melaksanakan tindakan pantas bagi menurunkan Jalur Gemilang yang telah rosak.

Katanya, PL sentiasa menerima pelbagai aduan orang awam yang sentiasa peka dengan persekitaran di Labuan terutamanya membabitkan isu-isu sensitiviti.

“Saya memuji tindakan pantas PL yang telah mencari dan menurunkan bendera yang rosak dan tersangkut itu dengan kaedah pemasangan perancah (scaffolding),” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata tindakan itu bukan sahaja dilaksanakan di Labuan malahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) turut mempergiatkan usaha mengenalpasti bendera yang telah rosak untuk ditukar.

“Terima kasih kepada semua kakitangan  dan pengurusan PL, DBKL dan PPj yang terus semangat menghidupkan Hari Kebangsaan yang ke 64” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas