Berita

Izzue Islam kagum semangat sukarelawan PriVo

||IZZUE menyifatkan keprihatinan Annuar (kanan) terhadap rakyat tiada siapa yang boleh pertikaikan kerana sudah banyak yang beliau usahakan untuk kepentingan rakyat seperti mewujudkan PriVo dan hotel kebajikan iaitu Rumah Prihatin.
- Diterbit 4 September 2021 6:00 AM MYT

PELAKON Izzue Islam sangat mengagumi semangat waja para Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi rakyat.

Bagi Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 31, sikap yang ditonjolkan itu sangat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan negara yang ke-64 iaitu Malaysia Prihatin.

“Mungkin dulu kita jarang dengar orang bercerita tentang kesanggupan anak-anak muda turun padang demi berkhidmat untuk rakyat.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, saya dapat lihat kesungguhan ahli PriVo dalam membantu masyarakat.

“Saya puji komitmen mereka kerana bukan semua orang boleh melakukannya,” jelas Izzue ketika ditemui pada majlis KasihMerdeka@GrandSeasons yang diadakan secara virtual.

IZZUE menyifatkan keprihatinan Annuar (kanan) terhadap rakyat tiada siapa yang boleh pertikaikan kerana sudah banyak yang beliau usahakan untuk kepentingan rakyat seperti mewujudkan PriVo dan hotel kebajikan iaitu Rumah Prihatin.

Izzue yang menjadi hos pada malam itu bersama wartawan Wilayahku, Ziera Halim, juga meluahkan rasa bertuah apabila dapat bertemu muka dengan pengasas PriVo iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri TPr Annuar Musa.

“Keprihatinan beliau (Annuar) terhadap rakyat tiada siapa yang boleh pertikaikan. Sudah banyak yang beliau usahakan untuk kepentingan rakyat seperti mewujudkan PriVo dan hotel kebajikan iaitu Rumah Prihatin.

“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam sesi siaran langsung bersama beliau di dalam Facebook, tidak sangka kali ini berpeluang jumpa depan-depan.

“Dalam perbualan kami, beliau menitipkan kata-kata semangat agar terus kuat dalam menempuh situasi mencabar ini.

“Apa yang istimewa, dia suka cara saya mengendalikan majlis pada malam itu. Ini sedikit sebanyak membuatkan saya mahu terus lakukan yang terbaik,” ujar Izzue Islam lagi. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas