Berita

Cincau produk hiliran utama KK4

AHLI KK4 teruja mengetengahkan tanaman cincau.
- Diterbit 10 Oktober 2020 2:01 AM MYT

BAGI memberi kelainan dalam produk hiliran utama yang dihasilkan kebun komuniti sekitar Putrajaya, tanaman cincau diketengahkan di Kebun Komuniti 4 (KK4), Presint 14 bermula November
tahun lalu.

Menurut Pengerusinya, Burhanuddin Mohd Ghazali, idea tersebut tercetus selepas  dia dan ahli kebun mengikuti ekspedisi ke Timur.

“Di situ, kami berkesempatan melihat cara memproses cincau.

“Selepas menyedari kurangnya produk bumiputera di dalam pasaran, kami berhasrat untuk menghasilkannya tambahan pula prosesnya tidak sukar,” katanya yang mula membiakkan pokok
cincau di KK4.

Burhanuddin berkata, produk yang dihasilkan itu juga berbeza dengan yang ada di pasaran kerana ‘texture’ lebih lembut dan enak dimakan bersama teh susu.

Ujarnya, selepas menerima maklum balas dan mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, cincau yang dihasilkan KK4 mula dibuka untuk jualan terus kepada penduduk sekitar Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPj) juga sudah mengiktiraf cincau sebagai produk hiliran utama KK4. Oleh itu, kami mula tanam pokok cincau sebanyak mungkin.

“Alhamdulillah dengan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta perbadanan kami akan komersialkan produk ini bermula hujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” jelasnya yang berharap hasrat untuk mengkomersialkan cincau KK4 dipermudahkan.

Dalam pada itu, Burhanuddin juga menyatakan pihaknya turut mengetengahkan sistem hidropot yang dilihat dapat membantu orang ramai khususnya individu yang sibuk bekerjaya untuk bercucuk tanam.

ANTARA produk cincau yang dihasilkan.

Ini kerana, katanya, alatan tersebut akan memudahkan pertanian di kawasan yang terhad kerana takungan bawah ada campuran baja selain boleh mengekalkan kandungan air.

Komuniti Putrajaya berbakti di ruangan terhad

“SAYA sudah bersara, tanah pun tiada. Jadi KK4 (Kebun Komuniti 4) ini dijadikan tempat untuk saya bercucuk tanam dan menabur bukti,” ujar Shuhairy Shuhaimi, 53 yang menetap di Presint 14D, Putrajaya.

Menurut Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, dengan adanya KK4 dan Program Pertanian Bandar, komuniti setempat berpeluang berbakti kepada tanah di samping mempelajari selok belok pertanian.

Bagi Shuhairy juga, peluang yang diberikan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan bantuan beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) amat disyukuri komuniti setempat.

Menurut seorang lagi penduduk sekitar, Razali Jamari, kebun komuniti juga membuka pelbagai peluang dan menjana pulangan lumayan kepada ahli. Ini kerana jelasnya, selain jualan sayuran seperti salad, cili, bendi dan terung, KK4 juga mengetengahkan rock melon yang dituai setiap tiga bulan.

“KK4 di Presint 14 ini adalah salah satu daripada 10 Kebun Bandar di Putrajaya.

“Empat daripadanya adalah kebun komuniti yang dilengkapi rumah lindungan hujan yang memfokuskan rock melon sebagai tanaman utama manakala enam lagi merupakan kebun tradisional,” jelasnya.

Disebabkan tuaian rock melon bermusim, ujar Razali, ahli komuniti kebun bandar perlu melihat secara menyeluruh bagaimana mahu meningkatkan hasil sekali gus mengekalkan program yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

AHLI KK4 belajar membuat cincau pada 16 September lalu selepas rock melon dituai.

Oleh itu, katanya, sejajar dengan laungan kerajaan ‘1 rumah 1 kebun’, idea untuk memperkenalkan sistem mini fertigasi terhasil.

“Kami cadangkan rumah atas tanah menggunakan sistem mini fertigasi yang mana air akan dibekalkan kepada 20 ‘polibag’.

“Alatan tersebut dilengkapi pam dan pelampung yang dapat menghentikan air apabila bekas penuh selain mempunyai ‘timer’ untuk menyalurkan air kepada tanaman,” jelasnya yang sedang mengusahakan mini fertigasi untuk Putrajaya Holdings (PJH).

Selain itu, kata Razali, penduduk rumah strata juga tidak dikecualikan daripada mempunyai ‘kebun’ sendiri kerana ‘vertical plant’ yang dijual di KK4 membolehkan sayuran seperti sawi dan salad ditanam di kawasan terhad.

Ujarnya, KK4 menyediakan pakej ‘vertical plant’ yang berharga RM200 dan penduduk setempat boleh mendapatkan anak pokok dengan harga 50 sen selepas hasil dituai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas