Berita

SOPHIA LIANA Mahu Lupa Yang Pahit

SOPHIA Liana ajak peminat lupakan yang pahit dan terus ceria serta positif
- Diterbit 9 Oktober 2020 11:37 PM MYT

PENYANYI yang juga anggota kumpulan De Fam, Sophia Liana mengaku dalam hidup ini tiada gunanya mengenang masa pahit lalu.

Baginya, setiap orang harus berfikiran positif, menghargai orang sekeliling yang ada dan terus maju ke hadapan.

Menerusi lagu terbaharunya berjudul Dulu Sophia atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri,30, cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.

 Dulu membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan. 

Kepada yang selalu stres tu, boleh dengar lagu ini.

LAGU Dulu memberi inspirasi kepada pendengar.

“Dalam Dulu saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. 

“Bukan sahaja penyampaian yang berbeza, malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang. 

“Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past,” katanya yang mempersembahkan lagu ini secara ‘sing rap’ atau rap berirama.

Sophia juga berharap lagu Dulu ini boleh memberi inspirasi kepada pendengar untuk terus menjalani hari-hari mendatang dengan positif.

“Saya berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu. 

“Yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” jelas Sophia lagi yang mencipta lagu Dulu bersama Fadzril Asyraf.

Sophia yang menjuarai program Dansa Dan Sing terbitan Astro pada Januari lalu, pernah muncul dengan lagu solo berjudul Ngam. 

Bersama adiknya Fadzril Asyraf, Sophia juga pernah menghasilkan beberapa lagu freestyle rap seperti Assalamualaikum (2018) dan Mulut (2018) yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya. 

Malah mereka turut menghasilkan lagu #pastiCLEAR sebagai lagu kempen pengiklanan rangkaian produk syampu CLEAR. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas