Berita

PruBSN agih 12,000 pelan perlindungan di Zon Utara, Pantai Timur

- Diterbit 24 November 2020 9:32 AM MYT

PRUDENTIAL BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin meneruskan usaha murni dengan mengagihkan pelan PruBSN Microtakaful Jariyah kepada 12,000 keluarga di tujuh negeri di Zon Utara dan Pantai Timur pada 1 Nov.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata aktiviti dengan usaha sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu adalah tindakan susulan kepada pengagihan peringkat awal dilaksanakan pada Mac dan Ogos tahun ini bagi melindungi 11,034 keluarga di Zon Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak.

“Kami memahami kesusahan yang dialami golongan berpendapatan rendah terutamanya jika mereka kehilangan tempat bergantung.

“Selaku sebuah organisasi yang prihatin, kami bertindak untuk menyediakan bantuan kewangan ke seluruh negara dan bermula tahun ini, kami telah melebarkan sayap untuk membantu komuniti di kawasan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saifulrizal berkata ia sejajar dengan objektif PruBSN Microtakaful Jariyah, yang menyediakan akses kepada produk takaful khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) tanpa sebarang kos.

Dilancarkan pada 2018, PruBSN Microtakaful Jariyah merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang menyediakan perlindungan asas takaful selama 12 bulan kepada ketua isi rumah (KIR) golongan miskin terpilih secara percuma.

Melalui inisiatif ini, penama akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM10,000 sekiranya berlaku kematian kepada ketua keluarga, yang disalurkan terus ke akaun bank penama. Ketua keluarga yang layak dikenal pasti daripada pangkalan data kemiskinan nasional iaitu Sistem eKasih di bawah seliaan ICU JPM.

Seorang penerima PruBSN Microtakaful Jariyah, Ezani Yasin dari Kelantan menzahirkan rasa terima kasih kerana terpilih sebagai penerima pelan microtakaful pada tahun ini.

“Saya rasa bersyukur kerana kebajikan keluarga saya akan terjaga melalui program ini, memandangkan saya tidak mampu untuk melanggan pelan takaful disebabkan pendapatan bulanan yang tidak menentu,” katanya.

Faridah Ghani dari Pulau Pinang turut berterima kasih kepada PruBSN kerana membantu dan memahami keperluan beliau yang merupakan seorang ibu tunggal dengan empat anak.

“Masalah kewangan adalah isu yang sentiasa dihadapi memandangkan pendapatan saya hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sahaja. Saya berterima kasih kepada PruBSN kerana membantu dan memahami keperluan kami dan kini kewangan kami dilindungi melalui pelan perlindungan ini,” katanya.

Pada 2018, pelan PruBSN Microtakaful Jariyah telah diserahkan kepada 12,500 penerima di Semenanjung Malaysia, dan jumlah itu meningkat kepada 13,027 pada tahun lepas, merangkumi 1,885 penerima awal di Sabah.

Tahun ini, PruBSN menyasarkan 25,000 penerima secara keseluruhan menjelang akhir Disember. Setakat ini, 22,228 keluarga telah menerima perlindungan takaful secara percuma sejak ia dilancarkan dengan baki sebanyak 2,772 keluarga di Sabah dan Sarawak bakal menerimanya pada 1 Dis. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas