Jumlah kanak-kanak di Malaysia berkurangan kepada 9.24 juta pada 2020

Jumlah kanak-kanak di Malaysia berkurangan kepada 9.24 juta pada 2020

GOLONGAN kanak-kanak merangkumi 28.3 peratus daripada 32.7 juta penduduk Malaysia dengan 4.77 juta adalah kanak-kanak lelaki sementara baki 4.47 juta kanak-kanak perempuan, demikian menurut Laporan Statistik Kanak-kanak Malaysia, 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika mengulas laporan itu berkata jumlah kanak-kanak pada 2020 berkurangan sebanyak 78,100 kepada 9.24 juta orang berbanding 9.32 juta yang dicatat pada tahun terdahulu.

“Penurunan ini ketara dalam kumpulan umur 0-4 tahun dan 13-17 tahun. Untuk kumpulan umur 0-4 tahun, pengurangan ialah sebanyak 1.5 peratus (37,800).

“Ini disebabkan penurunan dalam bilangan kelahiran hidup kepada 488,000 pada 2019 berbanding 502,000 pada tahun sebelumnya. Sementara itu, jumlah kanak-kanak dalam kumpulan usia 13-17 tahun pula menyusut 1.5 peratus (41,600),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi kesihatan, Mohd Uzir berkata liputan kesemua imunisasi untuk bayi pada 2019, iaitu Bacillus Calmette-Guerin (BCG); Poliomyelitis (polio); Diphtheria, Tetanus and Pertussis (DTP); Haemophilus influenza type b (HIB) dan Hepatitis B melepasi 95 peratus dan mencapai sasaran liputan imunisasi kebangsaan.

Bagi memenuhi keperluan jagaan anak, beliau berkata jumlah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar meningkat 11.2 peratus kepada 4,903 pada 2019, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor (19.7 peratus), diikuti Perlis (19 peratus) dan Pulau Pinang (16.5 peratus).

“Ini seiring dengan pertambahan bilangan pekerja wanita kepada 5.87 juta pada 2019,” katanya, menambah penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan mendorong mereka menghantar anak masing-masing ke pusat jagaan.

Mohd Uzir berkata pada 2020, operasi pusat jagaan kanak-kanak terjejas disebabkan kesukaran ibu bapa menghantar anak ke pusat tersebut susulan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pendaftaran di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bertambah sebanyak 9,500 daripada 4.84 juta kepada 4.85 juta pada 2019, peningkatan ini disumbangkan oleh pendidikan prasekolah (0.7 peratus) dan sekolah rendah (1.3 peratus).

“Untuk sekolah swasta, peningkatan pendaftaran boleh dilihat di tadika dan sekolah rendah yang masing-masing merekodkan 3,000 dan 200 pada 2019 berbanding tahun sebelumnya,” kata beliau.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Uzir berkata bilangan kes baharu orang kurang upaya untuk kanak-kanak pada 2019 ialah 20,321 dengan komposisi terbesar ialah kumpulan umur 6-12 tahun (50.5 peratus).

Mohd Uzir berkata bilangan kanak-kanak bawah 18 tahun yang terlibat dalam jenayah berkurangan sebanyak 8.7 peratus, daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada tahun berikutnya. – BERNAMA

CATEGORIES