Berita

Malaysia guna pendekatan komprehensif pastikan COVID-19 terkawal

- Diterbit 24 November 2020 9:34 AM MYT

MALAYSIA menerapkan pendekatan komprehensif berdasarkan langkah-langkah asas kesihatan awam untuk kepentingan kerajaan dan rakyat dalam usaha mengawal COVID-19, menyelamatkan nyawa dan membolehkan masyarakat serta sektor ekonomi berfungsi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pendekatan itu telah membolehkan Malaysia ‘meratakan lengkung jangkitan COVID-19’ dengan pantas ketika menghadapi gelombang kedua penularan pandemik itu.

”Kami optimis Malaysia akan berjaya ‘meratakan lengkung jangkitan COVID-19’ sekali lagi bagi gelombang ketiga yang sedang melanda. Semasa tahun 2020 sudah menghampiri penghujungnya, kita faham mengenai kepentingan masyarakat menyesuaikan diri untuk hidup bersama dengan ancaman penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang disampaikan secara maya pada Forum China-ASEAN ketiga mengenai Kerjasama Kesihatan Ke Arah Laluan Sutera Kesihatan di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dan Pengarah Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Takeshi Kasai.

Katanya Malaysia juga terus memberi tumpuan kepada bidang-bidang keutamaan seperti pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, dan pendigitalan penjagaan kesihatan melalui inovasi.

Dr Adham menegaskan sumber dan tenaga kerja yang ada juga perlu diselaras dan diagihkan semula untuk memastikan Malaysia terus memberikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan kepada rakyat ketika menguruskan wabak COVID-19.

“Walaupun COVID-19 terus mengancam sistem kesihatan dunia, Kementerian Kesihatan mempunyai kewajipan untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan kesihatan berterusan kepada mereka yang memerlukan, dan pada masa yang sama melindungi barisan hadapan.

“Ketika Malaysia mengalami gelombang pertama pada awal tahun tahun ini, negara-negara anggota ASEAN+3 adalah antara yang pertama menawarkan bantuan dan sokongan, kami menghargai dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada Malaysia, walaupun mengetahui bahawa mereka juga sibuk memerangi wabak di negara masing-masing, ” katanya.

Menyentuh mengenai tema forum hari ini “Membangun Komuniti Kesihatan ASEAN-China melalui Kerjasama dan Perpaduan”, Dr Adham berpendapat ia sangat relevan dengan isu-isu dan cabaran kesihatan awam semasa yang dihadapi dalam memerangi COVID-19 di peringkat serantau dan global. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas