Biz

Proton teruskan momentum kenaikan jualan tinggi

MODEL Proton X70 menjadi SUV premium dan eksekutif paling laris.
MODEL Proton X70 menjadi SUV premium dan eksekutif paling laris.
- Diterbit 4 Julai 2019 6:09 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas sebulan mencatatkan jualan yang tinggi pada bulan Mei, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) meneruskan momentum kenaikan jualan pada tahun 2019 dengan mencatatkan jumlah pegangan pasaran tertinggi sejak Julai 2015.

Jualan sebanyak 7,615 unit pada bulan Jun adalah angka kedua tertinggi yang dicatatkan oleh syarikat tersebut pada tahun ini menjadikan pegangan sebanyak 18.1 peratus daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8 peratus iaitu 42,090 unit.

‘’Seperti kebiasaannya dalam penjualan automotif di Malaysia akan terdapat penurunan pada jumlah penjualan bagi bulan selepas bulan perayaan.

‘’Bulan Jun tidak terke­cuali kerana adanya cuti sempena Hari Raya Aidilfitri diikuti keadaan jualan tidak memberangsangkan,’’ kata Proton dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, Proton mencatatkan trend apabila jualan meningkat sebanyak 23 peratus berbanding Jun tahun lalu yang telah membantu Syarikat mendapat kedudukan kedua dalam jadual jualan untuk bulan ketiga berturut-turut. Jumlah ini katanya menyumbangkan kepada pertumbuhan jualan keseluruhan sebanyak 61 peratus untuk enam bulan pertama tahun ini sekali gus meletakkan syarikat di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualannya bagi tahun ini.

‘’Secara individu, Proton X70 terus menjadi salah satu produk Proton paling popular. Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) di samping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas