Berita

Green Park, stop centre bakal dibina buat penghantar makanan

JALALUDDIN (dua dari kanan) meluangkan masa mendengar keluhan kumpulan penghantar makanan di Restoran Anjung Seri, petang semalam. Kredit foto: Nazirul Roselan
- Diterbit 16 September 2021 3:48 AM MYT

GREEN Park atau tempat letak kenderaan khusus dan stop centre (tempat rehat) bakal dibina sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk kegunaan penghantar makanan.

Inisiatif tersebut antara yang dibincangkan ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias beramah mesra bersama kumpulan penghantar makanan di Restoran Anjung Seri petang semalam.

Jalaluddin berkata beberapa perkara wajar diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga boleh menyumbang dalam menaik taraf soal kebajikan kumpulan penghantar makanan.

“Pertamanya tentang stop centre atau tempat rehat mereka di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur yang boleh diwujudkan dan dibina oleh pihak DBKL bagi kegunaan penghantar-penghantar makanan.

“Kedua, mewujudkan beberapa Green Park buat penghantar makanan bagi memudahkan mereka untuk menjalankan tugas menghantar makanan sama ada di premis perniagaan, perumahan termasuk di premis pejabat-pejabat kerajaan.

“Perkara itu akan kita jalankan serta merta, di mana setakat ini dua telah kita bina di menara DBKL, untuk kegunaan semua penghantar makanan dan kita akan bina 10 lagi sekitar KL di beberapa lokaliti tertentu,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya selain daripada itu, kebajikan yang diperjuangkan kumpulan penghantar makanan adalah mengenai insuran kemalangan, hilang upaya dan pelbagai lagi serta beberapa aduan yang akan diteliti untuk dibantu sewajar mungkin mengikut kapasiti Kerajaan.

Dalam pada itu, beliau juga berkongsi mengenai talian khas atau hotline yang diwujudkan bagi membolehkan orang ramai terutama warga Wilayah Persekutuan menyampaikan permohonan atau aduan bagi diambil tindakan sewajarnya.

“Antara perkara yang saya lihat, ramai antara mereka hantar beberapa aduan dan permohonan termasuk untuk menjaga kebajikan peniaga dan beberapa perkara yang mempunyai masalah dalam Kuala Lumpur.

“Jadi saya dapati antara saluran yang mudah untuk mereka sampaikan pandangan dan aduan ialah dengan mewujudkan talian khas bagi memudahkan rakyat menyampaikan apa jua aduan dan juga permohonan untuk saya ambil tindakan sebagai Timbalan Menteri WP,” tambahnya. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas