Berita

Program Travelog ‘MENCARI KANZUN’ Banyak Cabarannya – JAJA ISHAK

|FARISHA Iris menjadi pengacara untuk program travelog Mencari Kanzun.|DI sebalik tabir Mencari Kanzun
- Diterbit 2 Disember 2020 1:51 AM MYT

BUKAN mudah untuk menyiapkan program travelog lebih-lebih lagi dalam keadaan wabak COVID-19 yang masih berleluasa. 

Begitulah cabaran yang dihadapi oleh penerbit program travelog terbaharu Mencari Kanzun iaitu Jaja Ishak dan   produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. sejak beberapa bulan yang lalu.

Bayangkan, mereka mengembara ke seluruh negara dengan membuat pelbagai kajian mengenai  ilmuan wanita agar dapat menghasilkan yang terbaik untuk Mencari Kanzun. 

Selaku Penerbit, Jaja Ishak menganggap apa yang dilalui ini sebagai pengalaman yang sungguh bermakna buat mereka. 

“Memang ini cabaran untuk kami menyiapkan Kanzun memandangkan pelbagai proses perlu dilakukan bagi menyiapkan program travelog ini. Daripada proses mengenal pasti ilmuan wanita yang terpilih, kru produksi terutamanya penulis skrip perlu membuat kajian lapangan.

“Mereka bukan sahaja mengembara ke seluruh negara tetapi dalam masa yang sama terpaksa menjejaki waris memandangkan ada dalam kalangan ilmuan wanita yang diangkat sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Jaja lagi.

FARISHA Iris menjadi pengacara untuk program travelog Mencari Kanzun.

Bagi Jaja, idea untuk menghasilkan Kanzun tercetus daripada sesi perbicangan dengan salah seorang rakannya sebelum ini. Kebanyakan program yang diterbitkan sebelum ini banyak memberikan fokus kepada ilmuan lelaki dan ulamak sahaja tanpa dan jarang sekali memaparkan kehebatan kaum wanita.

Daripada idea tersebut, ia ‘dicanai’ oleh Thaqib Mohammad selaku penulis skrip yang memang sudah berpengalaman dalam penerbitan program seperti ini.

Menggunakan tema “meneroka kesinambungan keilmuan  wanita di negara sendiri”, sebenarnya Malaysia menyimpan seribu satu khazanah dan sejarah yang ternilai dan bakal didokumentasikan dalam Kanzun.

“Kita tidak membuat penggambaran secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beberapa Jabatan Agama Islam, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu serta Jabatan Mufti di negeri terpilih.

“Mereka bukan sahaja memberikan maklumat lengkap mengenai ilmuan-ilmuan yang terpilih tetapi dalam masa yang sama memberikan input dan cadangan lain untuk menambah naik program ini,” tambahnya lagi.

DI sebalik tabir Mencari Kanzun

“Terima Kasih Finas”

Kanzun bakal ditayangkan 13 episod di RTM dan turut mendapat Geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas).

Sudah pasti dengan bantuan dan kepercayaan yang diberikan oleh Finas dan RTM membuatkan produksi bersemangat untuk menghasilkan karya yang terbaik namun masih mengikut lunas-lunas yang sepatutnya.

“Ini antara program yang lain daripada yang lain. Saya berterima kasih kepada Finas dan berharap karya ini akan menambat hati penonton seterusnya memberikan ilmu baharu kepada semua,” katanya.

Diarahkan oleh Abidin Azizi, Mancari Kanzun dikendalikan oleh Farisha Iris sebagai pengacara dan bakal menemui penonton tahun depan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas