Berita

Belanjawan 2021 lindungi kumpulan rentan

- Diterbit 2 Disember 2020 3:22 AM MYT

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi tumpuan besar kepada golongan pendapatan rendah terutamanya golongan B40.

Belanjawan ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi. Di ibu kota Kuala Lumpur, adalah tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak penduduk yang dikategorikan sebagai B40 atau diistilahkan sebagai ‘urban poor’. Adalah penting untuk kita ingat bahawa kemiskinan bandar akan menjejaskan kesejahteran rakyat. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 yang dijangka boleh memanfaatkan golongan B40 ini termasuk kelompok miskin di bandar.

Pertama, Parlimen kita telah meluluskan Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 untuk mengecualikan atau memberi relief kepada rakyat terutamanya kategori B40 yang tidak mampu menjalankan obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak COVID-19.

Susulan daripada itu, satu Pusat Mediasi COVID-19 yang akan diketuai oleh Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) telah ditubuhkan agar dapat membantu kategori B40 serta perusahaan mikro yang digeluti pertikaian mengenai obligasi kontraktual ekoran pandemik COVID-19. Pusat Mediasi COVID-19 ini akan menyediakan perkhidmatan mediasi dan pada dasarnya kerajaan akan memberi subsidi kos perantara kepada kumpulan B40 dan M40.

Selain itu, melalui Program Baucar Perlindungan Tenang, belanjawan ini juga akan memperkukuhkan perlindungan sosial kepada golongan B40. Pemanfaat bantuan B40 bakal menerima baucar sebanyak 50 ringgit. Baucar bantuan kewangan ini dapat digunakan untuk membeli produk Perlindungan Tenang. Sebagai contoh, takaful hayat dan kemalangan diri dapat dibeli dengan menggunakan baucar tersebut.

Ketiga, belanjawan 2021 juga bercadang untuk menyediakan satu Pusat Komuniti sebagai tempat jagaan kepada anak-anak selepas tamat sesi persekolahan. Cadangan ini dapat meringankan beban dan kos sara hidup kumpulan B40 bandar khususnya bagi golongan ibu bapa yang kedua-dua bekerja. Untuk tujuan ini, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan 20 juta ringgit agar dapat menubuhkan Pusat Komuniti. Kerajaan mencadangkan agar melalui kerjasama NGO, pusat ini akan dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan
program bimbingan mentor.

Keempat, belanjawan 2021 juga memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi melancarkan Program Jaringan Prihatin. Program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan golongan B40 ketika memperolehi kemudahan internet. Kemudahan internet ini penting kerana pada era yang diteraskan oleh teknologi, akses internet harus dijadikan satu hak asas kepada seluruh rakyat di Malaysia. Melalui program ini juga, sebanyak 8 juta pemanfaat dari golongan B40 akan menerima bantuan sebanyak 180 ringgit dalam bentuk kredit telekomunikasi mulai suku pertama 2021.

Bantuan kewangan ini dapat digunakan untuk perbelanjaan langganan internet. Selain itu, penerima bantuan dapat menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu. Melaui program ini, syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia bakal membekalkan manfaat bernilai 1.5 bilion ringgit dalam bentuk data percuma. Diharap agar program ini akan memberi akses internet yang sama kepada golongan B40 meskipun mereka tidak mampu untuk menanggung perkhidmatan internet.

Di samping itu, kerajaan komited untuk melaksanakan dan menambah baik bantuan tunai ini secara lebih bersasar melalui Belanjawan 2021. Bantuan tunai ini akan lebih tumpu pada golongan B40.

Sasaran adalah seperti berikut:
1. Keluarga yang berpendapatan bulanan kurang daripada 2,500 ringgit dan mempunyai seorang anak sahaja akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit sementara keluarga yang mempunyai 2 orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,800 ringgit;
2. Keluarga yang berpendapatan bulanan antara 2,501 hingga 4,000 ringgit dan mempunyai seorang anak sahaja, bantuan BPR sebanyak 800 ringgit akan diberikan manakala keluarga yang mempunyai 2 orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit;

3. Keluarga yang berpendapatan bulanan antara 4,001 hingga 5,000 ringgit dan mempunyai seorang anak sahaja, bantuan BPR sebanyak 500 ringgit akan disalurkan manakala keluarga yang mempunyai 2 orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 750 ringgit;

4. Bagi individu bujang yang berpendapatan 2,500 ringgit ke bawah, bantuan BPR sebanyak 350 ringgit akan diberikan.

Inisiatif ini dijangka dapat memanfaatkan 8.1 juta rakyat B40 dan M40.

Dalam belanjawan 2021 juga, kerajaan telah mengumumkan bahawa kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak 500 ringgit sebulan untuk 12 bulan. Pengeluaran ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan. Golongan terkesan ini (600 ribu ahli) dapat meringankan beban kewangan buat masa ini dan diharapkan mereka dapat memenangi perang terhadap wabak COVID-19 ini.

Akhir sekali, belanjawan 2021 menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap kegelutan rakyat khususnya mereka yang terikat dengan pinjaman dan terjejas ekoran COVID-19.

Sejak April hingga September 2020 yang lalu, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menawarkan moratorium pinjaman bagi mengurangkan kos sara hidup semua peminjam.

Kini, lebih daripada 650 ribu permohonan bantuan pembayaran telah diterima, dan sebanyak 98 peratus telah diluluskan.

Bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah ditawarkan kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan, dan juga kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mata pencariannya banyak terkesan ekoran penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, institusi perbankan telah menyatakan bahawa lebih kurang 85 peratus peminjam telah menyambung pembayaran pinjaman tanpa meminta bantuan moratorium lagi.

Sebagai kesimpulan, belanjawan 2021 dapat banyak membantu golongan B40 terutamannya urban poor yang terkesan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas