Berita

McDonald’s bayar zakat RM1.4 juta

AZHAR (kiri) menyerahkan replika cek zakat korporat kepada Ahmad Shukri sambil disaksikan Mujahid di Mc Donald's Presint 2, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 6:44 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA – Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald’s Malaysia menjadi penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Sijil akuan itu akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald’s di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut McDonald’s Malaysia membayar zakat korporat setelah pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016.

Pengarah Kanan Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, syarikat itu membayar zakat berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini dan ia akan diagihkan kesemua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan yang akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP.

“Kami berbangga menjadi penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP dan ini mencerminkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan sebagai sebuah entiti perniagaan yang dimiliki oleh pelabur Islam.

“Syarikat Lionhorn Pte. Ltd. turut mengendalikan lebih 100 restoran McDonald’s di Arab Saudi. Pemindahan hak milik jenama McDonald’s di Malaysia menjadikan secara langsung sebagai entiti perniagaan yang dimiliki 100 peratus oleh orang Islam,’’ katanya pada majlis penyerahan sijil tersebut di cawangan McDonald’s di Presint 2 di sini baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Terdahulu Ahmad Syukri berkata, pihaknya berharap melalui sijil itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk membayar zakat.

“Matlamat kami adalah untuk mengutip zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023. Ini adalah antara langkah yang sedang kami lakukan dalam usaha mencapai sasaran tersebut,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas