Berita

Program IPR dapat sambutan, tingkat pendapatan B40

KAKITANGAN Perbadanan Labuan dan JWP ketika mengadakan lawatan ke lokasi perniagaan salah seorang peserta IPR.
- Diterbit 26 Mei 2023 5:45 AM MYT

PROGRAM Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Labuan berjaya menarik minat seramai 44 orang peserta daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan tersebut.

Ia diselaraskan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) itu turut menerima maklum balas positif daripada penduduk di pulau tersebut.

Menurut Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Rosida Jaafar program secara berfokus dengan kerjasama Kementerian Ekonomi tersebut membantu peserta dari segi bantuan modal, peralatan dan bantuan lain bagi memulakan perniagaan.

“Saya melihat para peserta yang menyertai program ini amat bersungguh-sungguh untuk menjalankan perniagaan mereka meskipun menghadapi pelbagai cabaran termasuklah cabaran ekonomi yang semakin mencabar.

“Semua peserta juga diberikan latihan agar dapat membantu membesarkan lagi perniagaan mereka,” ujar beliau pada Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Labuan 2023 di Dewan Arena Bukit Kuda, baru-baru ini.

Tambah beliau, IPR telah pun memasuki fasa satu dan dua sementara pada fasa ketiga akan ditumpukan dari segi penambahan peserta program namun semuanya bergantung kepada impak program terhadap peserta sebelum ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Anifah Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. Terdahulu, peserta diberi latihan meliputi kemahiran asas pendigitalan pemasaran, kemahiran spesifik teknikal, bantuan peralatan perniagaan dan juga penempatan peserta di lokasi strategik perniagaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas