Berita

MAIWP Labuan bantu asnaf menerusi penanaman cendawan

ABDUL AZIZ (tiga dari kiri) menyampaikan replika Skim Bantuan Pertanian bernilai RM193,720 kepada wakil asnaf dan peserta Program Laman Cendawan MAIWP.
- Diterbit 26 Mei 2023 6:00 AM MYT

SERAMAI lima orang asnaf di Labuan terpilih menyertai Program Laman Cendawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan bagi meningkatkan ekonomi dalam bidang pertanian.

Ahli Majlis MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata program rintis pertanian tersebut dilaksanakan bagi membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan.

“Program yang berkonsepkan urban farming ini juga dilihat mampu mewujudkan ekosistem yang mampu menjana pendapatan pelbagai pihak,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran Laman Cendawan MAIWP Labuan di Kampung Sungai Buton pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP, Mohd Fauzi Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad.

Beliau berkata setiap peserta diberikan sebuah rumah cendawan berukuran 15 hingga 20 kaki persegi (300 kaki persegi) dengan muatan 4,000 bongkah cendawan pada satu masa.

“MAIWP menganggarkan sebuah rumah cendawan boleh mengeluarkan tujuh kilogram (kg) maksimum hasil tuaian cendawan sehari.

“Kita mensasarkan pulangan kepada pengusaha dengan kadar RM4,375 sebulan bagi tempoh enam bulan dari tempoh matang setiap bongkah cendawan yang aktif,” kata beliau.

Tambah beliau, pelaksanaan Laman Cendawan MAIWP Labuan ini melibatkan keseluruhan kos sebanyak RM193,720 merangkumi struktur bangunan rumah cendawan, sistem pengairan dan elektrik, rak dan bongkah cendawan serta pembersihan.

“Projek rintis ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Labuan, Pertubuhan Peladang dan FAMA,” kata beliau lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas