Berita

Program i-Wheel Chair mudah urusan ke hospital

|ZAIZALNIZAM
- Diterbit 16 Ogos 2020 5:30 AM MYT

WALAUPUN harga kerusi roda biasa adalah sekitar RM200 hingga RM400 namun tidak semua orang mampu memilikinya.

Oleh itu, inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperkenalkan Program i-Wheel Chair bagi membantu golongan yang susah dan memerlukan, terutama bagi mereka yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) merupakan satu rahmat.

Salah seorang pengguna perkhidmatan itu, Sulaiman Abdullah, 42, berkata, dia membuat pinjaman kerusi roda untuk membawa ayahnya yang berumur 68 tahun ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bapa saya uzur dan menghidap kencing manis serta sakit jantung. Disebabkan dia tidak dapat berjalan jauh dan perlu menjalani pembedahan, maka saya membuat pinjaman kerusi roda di MINTS (Mini Terminat Sejahtera),” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Isnin.

Menurut Sulaiman, dia amat bersyukur kerana YWP menyediakan program seumpama itu kerana ia bukan hanya memudahkan penduduk PPR tetapi mengurangkan sedikit beban mereka yang memerlukan.

Ujarnya, urusan pinjaman juga mudah selain dilayan mesra oleh petugas MINTS.

“Memang bersyukur ada perkhidmatan begini kerana ada warga PPR yang tidak mampu membeli.

“Saya juga ingin menyeru kepada warga PPR supaya menjaga kemudahan yang disediakan ini dengan sebaiknya dan perlu saling bertanggungjawab,” jelasnya yang pertama kali membuat pinjaman.

ZAIZALNIZAM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, Program i-Wheel Chair merupakan satu inisiatif bagi membantu warga Wilayah Persekutuan mendapatkan perkhidmatan kerusi roda di lokasi dalam kawasan PPR dengan lebih mudah.

Ujarnya, pinjaman kerusi roda diberikan secara sementara atau harian mengikut waktu operasi MINTS.

“Sebagai contoh, pakcik Sudin yang menghidap kencing manis ingin mendapatkan perkhidmatan di hospital tetapi dia tidak mempunyai kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.

“Oleh itu, pakcik Sudin boleh membuat pinjaman kerusi roda daripada kita bagi memudahkan pergerakannya membuat pemeriksaan di hospital,” jelasnya.

Menurut Zaizalnizam, perkhidmatan tersebut disediakan di lapan lokasi PPR terpilih iaitu Blok A PPR Kerinchi, Blok C PPR Pantai Ria, Blok F PPR Seri Cempaka dan Blok 94 PPR Kampung Limau, Blok 2 PPR Desa Tun Razak, Blok C PPR Hiliran Ampang, Blok H PPR Sungai Bonus dan Blok C PPR Kampung Baru Air Panas.

Tambahnya, individu yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut boleh mengisi borang di lokasi yang dinyatakan dan permohonan terbuka kepada semua yang menepati syarat serta kriteria ditetapkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas