Berita

Fazriq mahu tempoh lima tahun lagi

FAZRIQ sedia kutip lebih pengalaman.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:21 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pemain badminton remaja negara, Muhammad Fazriq Mohd. Razif, 16, mengakui dia memerlukan tempoh lima tahun lagi bagi menggalas cabaran negara di peringkat lebih kompetitif.

“Saya perlu menimba pengalaman, apatah lagi kurang mendapat pendedahan. Selepas lima tahun, Insya-Allah saya sudah bersedia untuk mencabar kejohanan utama dunia seperti Kejohanan Dunia, Seluruh England dan Sukan Olimpik.

“Pun begitu, misi saya tahun ini adalah cubaan untuk mewakili Malaysia serta memenangi pingat dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Asia 2020,” ujarnya.

Tambah Fazriq yang juga pemain perseorangan mahu pun beregu, dia sudah menanam tekad untuk memberi cabaran dalam saingan lebih berprestij sekali gus melonjakkan diri dalam sukan yang diminati.

“Saya kini dalam misi memburu tempat ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan Asia 2020 dan sudah semestinya sedang giat menjalani latihan.

“Rutin latihan harian juga sedikit berbeza kerana saya akan berlatih bersama pemain senior selain daripada mendapat kemudahan yang lengkap di Akademi Badminton Malaysia (ABM),” ujarnya.

Anak bongsu kepada lagenda badminton negara, Datuk Razif Sidek ini dilihat antara prospek terbaik dimiliki negara pada masa hadapan. Sebagai rekod, Muhammad Fazriq pernah muncul juara Kejohanan Dunia Badminton Bawah 15 tahun Jemputan Shonai 2019 selain pernah muncul juara bersama Zhen Yi dalam acara beregu Kejohanan Badminton Asia Bawah 17 tahun dan 15 tahun di Myanmar pada 2018.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas