Berita

Program bermalam di Muzium dekatkan pelajar dengan sejarah

MUZIUM NEGARA
- Diterbit 22 Ogos 2019 6:59 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Bersempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, Muzium Negara akan menganjurkan ‘Program Bermalam di Muzium’ pada 30 dan 31 Ogos ini.

Muzium Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang bermula dari 2005 itu merupakan acara wajib setiap tahun berikutan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta.

“Kejayaan penganjuran program ini telah merintis pelaksanaan program yang seumpamanya di beberapa buah muzium lain di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Malah turut tersebar dan menjadi ikutan muzium-muzium lain di seluruh negara khususnya di Melaka.

“Pada 2016, JMM buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan “Program Perdana Bermalam di Muzium” secara serentak dengan melibatkan 22 buah muzium di bawah pentadbirannya dan berjaya memahat nama dalam Malaysia Books of Records dengan jumlah penyertaan seramai 1,573 orang pelajar dari seluruh negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada tahun berikutnya, program tersebut diperluaskan menerusi penglibatan bersama muzium negeri, swasta dan institusi sehingga berjaya mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records (“Most Number of Participants Overnight Simultaneously for an Educational Programme at the Museum”) dengan jumlah penyertaan sebanyak 1,959 orang peserta di 32 buah muzium.

Tambahnya lagi, bagi tahun ini, jumlah penyertaan muzium meningkat kepada 36 buah dengan jumlah peserta mencecah 2,704 orang.

“Peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun. Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang 2 hari 1 malam,” ujarnya.

Difahamkan, program itu mendapat tajaan berupa barangan dan kain pelikat untuk membuat tengkolok daripada pihak YEOS yang bertujuan untuk mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records dibawah kategori “most number of participants wearing Tengkolok for an educational programme night at the museum”.

Penganjuran bersama muzium-muzium di bawah JMM dan muzium negeri, swasta dan institusi ini diharap dapat menyebarluas lagi fungsi serta peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal dalam kalangan masyarakat di samping memperhebatkan kerjasama antara muzium di seluruh negara ke arah memperkukuh serta memartabatkan industri permuziuman negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas