Berita

Program 1C1R bakal diperluas ke seluruh Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN (kiri) merasmikan Kios 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin pada Rabu.
- Diterbit 20 November 2021 5:00 AM MYT

PROGRAM 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) bakal diperluaskan ke semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) secara berperingkat selepas mendapat hasil yang memberangsangkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek tersebut akan dapat mengurangkan sampah dan ia turut dapat menghasilkan kitaran ekonomi yang dapat membantu komuniti PPR dan PA.

“Projek 1C1R sangat penting sebab pertama ia dapat mengurangkan sampah yang kedua kita untung balik sebab hasil kitaran semula tersebut kita dapat bahan-bahan lain terutama baja kompos yang boleh digunakan untuk tanaman kebun bandar.

“Sekiranya projek ini berjaya dan produk baja kompos ini berjaya dilaksanakan di semua PPR dan PA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri akan menjadi pembeli utama dan akan digunakan di semua taman-taman di bawah kendalian DBKL,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kios 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) dan Pusat Pengomposan PPR Beringin pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Sosio Ekonomi DBKL, Anwar Mohd Zain.

Program 1C1R ini diwujudkan bagi menangani isu janaan sisa pepejal yang semakin meningkat dan memastikan bandar raya Kuala Lumpur sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, indah dan selesa, dan ia dilaksanakan bersama komuniti setempat.

Jelas Shahidan, projek yang dilaksanakan itu masih diperingkat percubaan dan setakat ini, hanya dua kawasan yang telah dipilih menjadi projek perintis iaitu di PPR Beringin dan PPR Seri Alam.

“Sekarang ini kita sudah mempunyai dua kawasan dan kita akan tambahkan lagi. Dalam tempoh dua atau tiga bulan ini, berkemungkinan separuh daripada keseluruhan 63 kawasan PPR dan PA akan dapat dilaksanakan.

“Pada waktu ini ia diperingkat percubaan dan kita bimbang ia mungkin tidak berjaya. Jadi mesin ini, jadi kita sewa dahulu. Sekiranya ia berjaya maka DBKL akan membeli mesin ini untuk dipasang ke seluruh PPR dan PA kerana harganya tidak mahal,” katanya sambil berharap projek tersebut akan menjadi contoh dan
ikutan di seluruh negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahidan berkata, program ini berasaskan kepada ekonomi kitaran (circular economy), yang secara tidak langsung membantu
golongan B40 khususnya di PPR dan Perumahan Awam dalam menempuh tempoh getir pasca COVID.

“Kewujudan Kios 1C1R dan Pusat Pengomposan di sini dapat meningkatkan amalan kitar semula dan mewujudkan komuniti yang sentiasa pentingkan kebersihan dan
keindahan persekitaran.

“Kios 1C1R adalah kios statik bagi memudahkan komuniti setempat menghantar barang kitar semula. Ia juga berkonsepkan sistem barter di mana barang-barang kitar semula ini boleh ditukarkan dengan barang keperluan asas seperti gula, susu, tepung dan minyak,” katanya.

Beliau turut menyifatkan bahawa PPR Beringin amat bertuah kerana dipilih sebagai PPR pertama yang diberi peluang untuk mengendalikan mesin kompos bagi kegunaan komuniti setempat melalui Pusat Pengomposan PPR Beringin.

“Tujuan utama pengwujudan Pusat Pengomposan ini adalah untuk menggalakkan penggunaan baja organik hasil daripada kompos untuk aktiviti berkebun dan pertanian di kalangan komuniti setempat bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Ia juga membantu komuniti ini memasarkan kompos yang dihasilkan dan menggunakannya di kebun komuniti. Hasil kebun seperti penjualan kerepek bayam brazil dan kerepek peria dapat meningkatkan sumber kewangan komuniti setempat,” katanya.

Tambahnya, melalui program yang dilaksankana, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan pembuangan sisa makanan penduduk setempat dan diproses menjadi kompos. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas