Berita

Kerjasama NGO ceriakan anak-anak yatim

PENGERUSI PERKEP (tengah) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian anak-anak yatim dan asnaf, Rumah Jalinan Kasih.
- Diterbit 20 November 2021 3:00 AM MYT

SEMPENA Program Ukhuwah Fillah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, RumahPrihatin@GrandSeasons menjalinkan kerjasama dengan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan asnaf Rumah Jalinan Kasih (Anak Yatim Selangor), baru-baru ini.

Seramai 57 kanak-kanak dan remaja berumur dari tiga bulan hingga 17 tahun menerima bantuan makanan kering, alatan permainan dan makanan bermasak menerusi tiga inisiatif Rumah Prihatin iaitu Foodbank Prihatin, Dapur Prihatin dan Toybank Prihatin.

“Pemberian bantuan ini selaras dengan objektif Rumah Prihatin bagi meringankan beban golongan sasar yang memerlukan bantuan sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

“Kotak-kotak makanan ini adalah bagi menyokong usaha mereka dalam membantu golongan yang memerlukan dan terkesan akibat penularan pandemik Covid-19,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sumbangan bantuan ini disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah kepada Pengasas Rumah Jalinan Kasih, Puan Norlela Othman.

Aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh PERKEP IPD Cheras ini juga turut dihadiri oleh Pengerusi PERKEP IPD Cheras, Puan Nor A’ini Daud, Pegawai Pergigian Daerah Cheras, Datin Dr Zaliza Zain,
serta barisan pengurusan Rumah Prihatin.

Sejak penubuhannya pada 15 Julai lalu, Rumah Prihatin telah memanfaatkan lebih 70,000 orang dari kumpulan sasar yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, pelajar, golongan asnaf, gelandangan, musafir dan mereka yang memerlukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas