Liga-M kembali bersambung 3 Julai
KEMPEN Liga Premier akan bermula 3 Julai manakala tirai Liga Super kembali bersambung pada 24 Julai. Kredit foto oleh: Melaka hari ini

Liga-M kembali bersambung 3 Julai

TUMPUAN peminat bola sepak tanah air akan kembali  kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bersambung bulan depan selepas berakhirnya kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kempen Liga Premier akan bermula 3 Julai manakala tirai Liga Super kembali bersambung pada 24 Julai.

Bagaimanapun, Ab Ghani berkata beberapa pindaan jadual terpaksa dilakukan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta Kedah Darul Aman (DA) FC dan Terengganu FC (TFC) yang bersaing dalam kempen Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus pulang ke tanah air.

“Pindaan jadual Liga-M juga tidak dapat dielakkan selepas JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki kuarantin 14 hari selepas pulang ke tanah air manakala Kedah DA FC dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka menjalani prosedur kuarantin sama namun sehingga kini AFC masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu bagi kejohanan berkenaan,” katanya.

Ab Ghani berkata selain itu, pindaan tarikh baharu turut dilakukan terhadap dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini iaitu antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dengan tarikh baharu perlawanan pada 29 Jun ini manakala Perak II FC menentang Kelantan FC pula ditunda ke 30 Jun berikutan penularan kes positif COVID-19 dalam kalangan beberapa pemain pasukan dari pantai timur itu.

Menurutnya lagi kepulangan pasukan kebangsaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 selain diarah menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara faktor jadual Liga-M dipinda.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani menzahirkan kegusaran bahawa jadual berkemungkinan akan dipinda sekiranya AFC membuat keputusan meminda jadual Piala AFC 2021 ke tarikh lain daripada jadual asal.

“Merujuk kepada kenyataan AFC bertarikh 27 Mei 2021, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menarik diri sebagai hos Piala AFC 2021 akibat peningkatan penularan COVID-19 di negara berkenaan dan MFL telah dimaklumkan bahawa AFC akan memaklumkan venue baharu.

“Sekiranya pihak AFC membuat keputusan untuk meminda jadual Piala AFC 2021 yang melibatkan pasukan Kedah DA FC dan TFC ke tarikh serta bulan yang berlainan dari jadual asal, ia dilihat akan memberi impak kepada penjadualan Liga-M dan Piala Malaysia 2021,” tambahnya.

Jadual Liga-M, katanya, tidak boleh dipinda melebihi November berikutan kebanyakan kontrak pemain dan pegawai hanya sah sehingga penghujung bulan berkenaan.

Sehubungan itu, MFL melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyatakan secara rasmi kepada AFC supaya sebarang pindaan bagi tuan rumah pertandingan itu hendaklah dibuat berlandaskan jadual asal bagi memastikan perangkaan penjadualan liga domestik tidak terjejas. – BERNAMA

CATEGORIES