WK2

Prihatin Ramadan kesinambungan Nur Ramadan

ROSIDA (dua dari kanan) menghulurkan sumbangan kepada gelandangan di Program Prihatin Ramadan @Anjung Kelana baru-baru ini.
- Diterbit 8 Mei 2021 2:02 AM MYT

MESKIPUN warga Wilayah Persekutuan masih lagi bergelut dengan masalah pandemik COVID-19, namun program Prihatin Ramadan yang dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dapat menyemarakkan lagi semangat Ramadan di dalam warganya.

Melalui tema Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin yang digagaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, program-program yang dirancang dan dirangka KWP mestilah mempunyai nilai prihatin dan cakna terhadap masyarakat lebih-lebih lagi situasi semasa rakyat yang masih bertarung dengan pendemik COVID-19.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk menggembirakan golongan asnaf di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui pemberian sumbangan kepada golongan tersebut.

“Sebagai sebuah kementerian yang prihatin terhadap ketigatiga kawasan tersebut, kerajaan berpendapat Program Prihatin Ramadan ini wajar dilaksanakan untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada golongan asnaf selain dapat mengurang bebanan yang ditanggung mereka.

“Kerajaan perlu membantu rakyat dalam apa jua bentuk dan kita mendapati rakyat berhadapan dengan kesukaran dalam kelangsungan kehidupan di Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Rosida, program tersebut merupakan kesinambungan daripada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan yang diadakan sejak tahun 2010.

“Ia merupakan program sentuhan rakyat di mana pemimpin dapat melihat sendiri keadaan rakyat dan meraikan mereka di dalam majlis di semua kawasan parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mengulas lanjut, Rosida berkata, keunikan program pada tahun ini apabila ia turut melibatkan penyertaan kumpulan media terbesar tanah air.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Kumpulan Media Prima Berhad Berhad melalui sumbangan orang ramai kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

“Melalui kutipan tersebut, ia turut diberikan kepada para asnaf di Program Prihatin Ramadan tahun ini.

“Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) juga turut menjadi Rakan Strategik Program Prihatin Ramadan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 2,000 asnaf di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dikenal pasti sebagai penerima di jemput untuk menerima sumbangan tersebut.

“Sumbangan adalah berbentuk wang tunai berjumlah RM300 dan satu set bakul makanan kepada asnaf.

Jelas Rosida lagi, hanya sebahagian asnaf yang di jemput untuk menghadiri majlis penyampaian sumbangan bersama menteri kerana ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebahagian asnaf akan menerima sumbangan melalui Pejabat Cawangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPJ), Perbadanan Labuan (PL) dan Majlis Perwakilan
Penduduk Wialayah Persekutuan dalam parlimen masing-masing,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas