Biz

Hasrizal ‘tauke’ seafood frozen Sabah di Putrajaya

MOHD HASRIZAL memulakan perniagaan hasil laut sejuk beku sejak sebulan yang lalu dan kini terdapat dalam 10 jenis hasil laut dijualnya. MOHD HASRIZAL memulakan perniagaan hasil laut sejuk beku sejak sebulan yang lalu dan kini terdapat dalam 10 jenis hasil laut dijualnya.
- Diterbit 10 Mei 2021 6:42 AM MYT

BERMODALKAN hanya RM2,000 untuk memulakan perniagaan hasil laut sejuk beku, Mohd Hasrizal Hashim, 39, menganggap ia merupakan langkah kanan apabila hasil laut yang dijualnya mampu mencecah jualan kasar sehingga RM10,000 dalam sehari.

Mengimbas semula, Hasrizal yang juga seorang penjawat awam memulakan perniagaan ikan bilis Labuan sejak lima tahun yang lalu sebagai sumber pendapatan kedua selepas melihat permintaan yang tinggi terhadap hasil laut terutama apabila ada rakan-rakan yang melancong ke Malaysia Timur, dia menganggap perniagaan ini akan membuka satu lagi pintu pendapatan buat dirinya sekeluarga.

“Saya tengok kawan-kawan akan borong hasil laut di sana kerana harganya lebih murah berbanding di sini, apabila tanya kawan-kawan di pejabat mereka mahu barang itu, saya lihat benda ini boleh dijual di sekitar Putrajaya jadi saya mula ambil udang dari Sabah terlebih dahulu dan cuba menjualnya,” ujarnya apabila ditanya mengenai idea permulaan perniagaan sejuk beku ini.

Bermula dengan sebuah peti ais yang kecil untuk menyimpan barangan beku kini Hasrizal mempunyai tiga lagi peti beku bersaiz besar bagi memuatkan barangan beku yang dijualnya setelah mendapat permintaan tinggi di sekitar Putrajaya.

ISI kerang gred A menjadi pilihan buat masa ini.

Ujarnya sejak memulakan perniagaan sebulan yang lalu, kini terdapat dalam 10 jenis hasil laut yang dijual seperti udang, kerang, isi udang, ketam, sotong serta banyak lagi. Pada masa ini sotong ring mendapat permintaan yang tinggi kerana harganya yang murah dan senang dimasak.

Julat harga bagi setiap barang adalah RM1,000 sebagai contoh sotong ring akan dibeli sebanyak 10 kotak dan dijual pada harga sekilo RM18.

Isi udang pula dijual seminggu dalam tiga kotak bersamaan 60kg pada harga RM28 sekilo dan sedikit tinggi bagi udang di mana dijual pada harga RM33 sekilo.

Untuk ketam pula sekilo adalah RM35 bersamaan dengan tiga ekor ketam manakala baby octopus dijual pada harga RM18 sekilo.

Tambahnya salmon dan lobster juga dijual akan tetapi ianya bergantung kepada permintaan pembeli.

ISI kerang scallop pink antara hasil laut yang bernutrisi tinggi.

Setiap ahli perniagaan pastinya menghadapi masalah sewaktu mula berniaga, Hasrizal mengakui turut mengalami kesukaran dalam mendapatkan pembekal hasil laut di awal perniagaannya namun lama kelamaan ianya tidak lagi menjadi masalah kerana sudah mendapat kepercayaan daripada pembekal sendiri.

Ayah kepada tiga orang anak ini memasarkan produknya hanya melalui platform online dan juga kawan-kawan terdekat. Apa yang menarik, Hasrizal mengambil inisiatif di mana orang ramai boleh membeli secara online dan ‘runner’ akan menghantar pesanan mereka. Tambahnya caj penghantaran yang dikenakan sekitar Putrajaya adalah sebanyak RM5 sahaja.

Jelasnya sehingga kini perniagaan hasil lautnya itu mempunyai hampir 10 orang ejen di Kota Warisan, Kuala Lumpur, Dengkil dan juga Bangi.

Di Putrajaya, Hasrizal hanya mempunyai dua ejen kerana tidak mahu ejen menaikkan harga sesuka hati. Harga bagi ejen dikawal sepenuhnya oleh Hasrizal bagi mengelakkan kenaikkan harga yang tidak masuk akal. Bagi sesiapa yang berada di luar Putrajaya dan ingin menjadi ejen boleh hubungi Hasrizal di talian 019-281 9170 untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, Hasrizal berkata dia sedar mengenai harga hasil laut yang tidak menentu terutama di musim tengkujuh akan tetapi memberi jaminan bahawa harga pada masa kini adalah tidak terlalu mahal dan sesuai dengan kualiti serta kuantitinya.

“Kebiasaannya hasil laut akan berhadapan kenaikan harga pada musim tengkujuh dan saya sedar mengenai perkara itu. Seperti sekarang ini pun harga masih murah kerana kita masih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan orang tidak boleh masuk ke sana.

“Kita takut lepas PKP ini harga akan naik kerana orang luar dah boleh masuk tetapi buat masa sekarang tiada masalah kerana harga masih mampu milik lagi,” jelasnya mengenai harga hasil laut yang tidak menentu. – WILAYAHKU – DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas