Berita

PPZ-MAIWP terbitkan terjemahan Fiqhul Zakat, karya Dr. Yusof Al-Qaradhawi

AHMAD SHUKRI (tengah) menyerahkan cenderamata kepada Sheikh Yusof Al-Qaradhawi (kiri) sambil disaksikan Ahmad Husni dalam pertemuan di pejabat ulama terkenal tersebut di Doha baru-baru ini.
- Diterbit 8 Oktober 2019 6:31 AM MYT

DOHA, Qatar – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menapak satu langkah ke hadapan apabila menerbitkan buku terjemahan Fiqhul Zakat karangan Prof. Dr. Sheikh Yusof Al-Qaradhawi ke arah menjayakan pengurusan zakat model Malaysia.

Ia merupakan usaha berterusan ke arah menjadikan PPZ-MAIWP sebagai satu institusi pengurusan zakat yang terulung dan mantap dari aspek perkhidmatan zakat secara praktikal seterusnya menggalakkan perkembangan ilmu zakat.

Bagi tujuan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff bersama Pengurus Unit Syariah PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abd. Rahman melakukan pertemuan dengan bekas Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu dalam rangka memohon keizinan rasmi bagi menerbitkan terjemahan karya agung ulama terkenal tersebut.

Dalam pertemuan tersebut Sheikh Yusof Al-Qaradhawi menasihatkan umat Islam agar sentiasa menambah baik taraf kehidupan dengan ilmu pengetahuan dan berusaha menegakkan syariat Allah S.W.T serta menghayati sunnah Rasulullah S.A.W dalam kehidupan seharian.

Di dalam pertemuan tersebut juga, mereka sempat membincangkan hal-hal berkaitan zakat serta bertukar buah fikiran bagi memerkasakan pengurusan institusi zakat di Malaysia.

”Diharapkan dengan usaha penterjemahan yang dilakukan ini akan memberikan manfaat dan dapat menjadi panduan kepada para pencinta ilmu khususnya para pengamal zakat bagi menambah koleksi perbendaharaan ilmiah dalam mendalami ilmu zakat serta pengurusannya,” kata Ahmad Shukri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas