Berita

PPZ-MAIWP, selebriti bekerjasama

AZHAN (tengah) menyerahkan sumbangan kepada empat persatuan melibatkan artis dan seniman pada Program Kejohanan Boling 2019 PPZ-MAIWP bersama FINAS di Wangsa Maju baru-baru ini.
- Diterbit 22 November 2019 5:29 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

WANGSA MAJU – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berganding bahu dengan golongan selebriti dalam usaha untuk menyebarkan dakwah zakat kepada masyarakat umum.

Golongan popular ini dilihat mampu menjadi orang tengah memandangkan faktor jumlah pengikut mereka yang ramai di laman sosial sekali gus membantu pihak PPZ-MAIWP merealisasikan objektif dakwah itu sendiri.

Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail, hubungan dua hala PPZ-MAIWP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) adalah satu langkah baharu yang sedang dilakukan bagi menggalakkan umat Islam di negara ini membayar zakat.

“Tidak dinafikan, masyarakat hari ini rata-rata tidak ketinggalan mengikut perkembangan terkini artis-artis kesayangan mereka, jadi secara tidak langsung jika golongan ini boleh menguar-uarkan di laman sosial mereka pasti sedikit sebanyak dapat membantu usaha dakwah.

“Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, sekurang-­kurangnya ia amat membantu kami. Ini kerana, pihak kami juga kekurangan tenaga untuk menyampaikan maklumat berkaitan zakat ke seluruh Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Justeru, ujar Azhan, bagi menjalin kerjasama itu, PPZ-MAIWP buat julung-julung kalinya mengadakan Kejohanan Boling 2019 bersama FINAS, selebriti dan para karyawan sebagai satu medium dakwah santai buat golongan tersebut.

“Dalam masa sama, melalui program ini, kita juga dapat meningkatkan kesedaran kepada golongan selebriti mengenai kewajipan zakat selain mengintai ruang usahasama strategik.

“Selain itu, pihak PPZ-MAIWP juga mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada empat persatuan iaitu Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, Yayasan Artis Veteran Malaysia dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia untuk meringankan beban golongan seni yang dalam kesempitan,” ujarnya.

Antara tetamu yang turut hadir dalam kejohanan yang berlangsung di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur itu adalah Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Azrin Abdul Manan dan Ke­tua Pengawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas