Berita

Masa depan makanan negara

||
- Diterbit 22 November 2019 5:48 AM MYT

JIKA diimbas kembali kepada sejarah, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pertama kali disambut pada 6 Ogos 1975 di pekarangan Bangunan Parlimen.

Ini bermakna lebih empat dekad ia diadakan sekali gus menampilkan pelbagai perubahan dan pencapaian dalam bidang pertanian di negara ini.

Sepanjang tempoh itu, negara menyaksikan betapa penting­nya bidang pertanian terutama dalam memastikan keselamatan makanan negara terus terjamin.

Malah apa yang lebih penting ialah sejauh mana pemain industri tersebut dapat menguasai pemodenan dan teknologi dalam bidang pertanian.

Ikuti temu bual Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB bersama Wilayahku mengenai sambutan HPPNK 2019 yang bakal diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai HPPNK 2019?

SALAHUDDIN

SALAHUDDIN: Pada kali ini, HPPNK 2019 diadakan di Padang A dan B, Angsana Johor Bahru Mall bermula pada 28 November hingga 1 Disember 2019.
Setiap tahun sambutan HPPNK diadakan sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang men­jadi penyumbang utama makanan di negara ini.
HPPNK merupakan salah satu platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini serta membuka peluang per­niagaan kepada mereka yang ber­minat dengan sektor pertanian.
Acara ini menghimpunkan segala hasil dan bahan pertanian yang terbaik dari seluruh negara. HPPNK tahun ini dijangka mendapat sambutan dengan beberapa tarikan baharu yang akan saya ceritakan.

Apakah antara tarikan yang ada di HPPNK 2019 nanti?

SALAHUDDIN: Penganjuran HPPNK kali ini diadakan di Johor juga bersempena Tahun Melawat Johor 2020. Kita mendapat kerjasama baik daripada pihak kerajaan negeri. Johor Bahru merupakan bandar raya kedua terbesar dan pusat perniagaan dan perdagangan di Malaysia.
Johor Bahru merupakan sebuah pusat perindustrian, perdagangan, dan pelancongan yang utama.
Pelancongan menjadi penyumbang yang besar dalam ekonomi Johor Bahru yang mana 60 peratus daripada pelancong yang melawat Malaysia setiap tahun berkunjung melalui Singapura dan Indonesia.
HPPNK pada kali ini menyasarkan semua lapisan masyarakat peladang di seluruh negara terutamanya dari seluruh negeri Johor.
Expo ini juga dijangka menarik pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia serta seluruh Malaysia. Ini adalah disebabkan Johor merupakan pintu masuk utama pengunjung dari kedua-dua negara berkenaan.
Pada kali ini, Angsana Johor Bahru Mall menjadi pilihan untuk diadakan HPPNK kerana lokasinya yang strategik dan menjadi tumpuan para pengunjung di sekitar Johor Bahru. Kami percaya HPPNK kali ini mampu menarik ramai pengunjung dengan melihat kejayaan program-program yang pernah dianjurkan di tapak padang ini.
Di tapak ini, kita akan bangun­kan marqueetent besar yang akan memuatkan sebanyak enam aktiviti utama di bawah HPPNK 2019 iaitu; Makanan dan Minuman; Gaya Hidup; Kesejahteraan; Hasil Pertanian; Agro Teknologi dan Pembangunan Modal Insan.
Enam aktiviti tersebut menge­tengahkan 15 komponen iaitu Pertandingan HPPNK dan Konvensyen; Showcase Agro Teknologi; Mekanisasi dan Automasi; Agro Pelancongan; Agro Kulinari; Agro Belia; Empayar Makanan; Jualan Segar; MySeafood; Forum Perdana Ehwal Islam; Budaya dan Seni Tani; Kenduri Rakyat Nasi Ambeng; Hasil Pertanian serta Perikanan dan Ternakan.
Seperti acara HPPNK sebelum ini, kehadiran pengunjung dijangka se­ramai 500,000 orang sepanjang empat hari acara berlangsung dan bakal menjana transaksi sebanyak RM30 juta.
HPPNK sinonim dengan ekspo pameran dan jualan kedua terbesar di Malaysia selepas Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show (MAHA).
Pengunjung boleh menikmati pengisian aktiviti dan pengalaman pertanian di lapan ruang tapak utama iaitu Pentas Budaya dan Seni Tani, Laman Mekanisasi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Jualan Segar, Laman Empayar Makanan, Pameran Jabatan/Agensi dan Swasta, Pemasaran Produk Industri Asas Tani.
Selain itu, di HPPNK terdapat 13 pavilion negeri yang masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik. Pavilion-pavilion negeri yang dijangka menampilkan ciri-ciri negeri-negeri di Malaysia termasuk produk, makanan, kebudayaan dan lain-lain boleh dinikmati oleh pengunjung.
Satu lagi tarikan yang sentiasa po­pular dalam kalangan pengunjung adalah jualan bahan-bahan pertanian dan makanan antaranya ialah produk-produk industri asas tani , buah-buahan dan sayuran segar, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan, makanan laut segar serta kerang-kerangan.
Berita baik bagi rakyat Johor di mana Forum Perdana Ehwal Islam akan disiarkan secara langsung buat julung-julung kalinya dari tapak HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall pada malam pertama HPPNK 2019 iaitu pada 28 November 2019.
Forum di­bawakan khas oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan AgroBank bersama-­sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), RTM, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
Istimewanya Forum Perdana kali ini dibicarakan oleh panel yang berwibawa iaitu Ustaz Ahmad Badli Shah Alaudin, Ustaz Ghazali Ibrahim dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad manakala Mohd. Hariri Mat Daud sebagai moderator.
Bagi elemen baharu HPPNK kali ini, Malam Budaya dan Seni Tani bakal menampilkan persembahan kebudaya­an seperti persembahan zapin, puisi, sajak, syair, teater Menunggu Kata Dari Tuhan, persembahan angklung, konsert artis jemputan yang akan kita bawakan pada malam kedua dan ketiga HPPNK 2019.
HPPNK sentiasa popular dengan jualan segar hasil pertanian, makanan dan minuman yang mana sebanyak 345 menu juadah popular akan di­bawa. Kali ini menu yang dibawa bakal mengetengahkan menu etnik dari seluruh Malaysia. Ini kerana makanan menceritakan budaya dan warisan sesebuah bangsa.
Makanan menyatukan kita dan dengan makanan juga kita bersatu dengan 13 buah negeri bergabung dalam menonjolkan kepelbagaian rencah rasa dan budaya negeri dalam satu “Empayar Makanan” di HPPNK 2019.
Cita rasa masakan setiap negeri kaya dengan pelbagai masakan kampung yang amat menyelerakan malah menjadi resepi turun-temurun yang diwarisi sejadi zaman dahulu.
Sehubungan itu, Empayar Makanan HPPNK 2019 kali ini akan menonjolkan pelbagai menu etnik dan warisan dari setiap negeri di Malaysia.
Pameran jabatan, agensi dan swasta berasaskan pertanian juga tidak ketinggalan diadakan sepanjang tempoh empat hari tersebut. Peng­isian menarik dalam booth-booth pameran seperti pelbagai demonstrasi masakan, barista, kelapa telur, umpan tiruan, dodol segera, penghasilan baja kompos dari hasil dapur, perangkap lalat buah, pocket talk, pameran dan pertandingan terrarium dan vivarium, simulator, happy hour, uji rasa, pertunjukan F&B seperti teh tarik, roti canai, latte art, pertunjukan agro kulinari seperti filetting show, butchering show, ice carving, pertandingan beyblades, mewarna telur burung unta, kupas kerang, masakan dan pelanca­ran produk baharu.

Bagaimanakah sambutan ter­hadap HPPNK 2019?

SALAHUDDIN: Kami amat gembira kerana sambutan pelbagai pihak terhadap HPPNK 2019 amat menggalak­kan.
Rata-rata usahawan telah menghubungi kami untuk mendapatkan slot pameran dan jualan di tapak HPPNK. Sekurang-kurangnya 350 gerai jualan kita buka untuk disewa dalam kluster pemasaran produk sepanjang HPPNK nanti.
Produk-produk yang akan diketengah­kan nanti akan disegmenkan melalui ciri-ciri seperti Ready To Eksport (RTE), nilai estetik, wellness, celebrity corner, produk kering, jualan segar dan basah, makanan dan minuman serta lain-lain lagi.
Booth-booth jualan juga telah di­buka untuk tempahan dan hingga ke hari ini, sebanyak 90 peratus booth jualan telah ditempah.
Masih terdapat kekosongan dan bagi mereka yang berminat mendapat­kan tapak boleh menghubungi 03-8948 4699/ 016-2017 3452 atau emel [email protected].
Dari segi penyertaan orang ramai, saya yakin kita boleh mencapai sasaran 500,000 orang pengunjung.
Ini kerana HPPNK mempunyai je­nama, tradisi dan pengikutnya sendiri. Mereka yang sebelum ini hadir ke HPPNK setiap kali diadakan sentiasa menantikan penganjuran HPPNK di sana.
HPPNK yang diadakan di lokasi negeri terpilih akan memperlihatkan pelbagai kelainan hasil pertanian termasuklah budaya-budaya yang dibawakan oleh negeri.
Saya percaya mereka akan terus datang tahun ini. Kali ini ke negeri Johor Darul Takzim.
Selain itu, seperti saya sebut tadi kita ada pelbagai tarikan baharu seperti Kenduri Rakyat Nasi Ambeng, Budaya dan Seni Tani serta Job Fair.
Saya percaya dengan semua ini, kita juga akan dapat juga menarik perhatian mereka yang selama ini bukan pengunjung tradisional HPPNK.

Apakah tema HPPNK 2019 pada kali ini dan boleh dijelaskan maksud di sebalik tema tersebut?

SALAHUDDIN: Pada tahun ini, kita masih mengekalkan tema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’. Tema ini begitu sinonim serta relevan dengan dasar dan hala tuju kementerian yang telah didokumenkan melalui Hala Tuju Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020.
Dokumen Hala Tuju ini dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara (food security and safety), pembangunan ekonomi luar bandar, serta pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.
Hala tuju yang digariskan pada tempoh ini memberikan fokus untuk memperkukuh struktur dan amalan dalam tiga subsektor yang menghasilkan sumber makanan utama negara iaitu padi, ruminan dan perikanan. Namun, pada masa sama, pengeluaran pertanian dalam subsektor lain tidak diketepikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Dalam konteks makro, ia menggariskan kepentingan negara kita untuk mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara.
Kesinambungan masa depan pengeluaran makanan pula ber­gantung kepada adanya generasi pelapis yang mempunyai kemahuan dan kemahiran untuk memastikan bidang pertanian dan industri asas tani terus maju dan mampu terus menegakkan kedaulatan negara.

Mengapa makanan dan jaminan bekalan makanan penting kepada sesebuah negara?

SALAHUDDIN: Sejarah telah mencatatkan sama ada pada waktu krisis mahupun aman, banyak negara yang mampu dilumpuhkan dan tergadai kedaulatannya hanya kerana ketidakcukupan makanan atau kebergantungannya kepada bekalan luar.
Pada waktu aman, makanan sering digunakan oleh sesebuah negara sebagai alat diplomatik strategik untuk mengembangkan sayapnya.
Ini dapat dilihat apabila berlaku bencana dan kecemasan, negara-ne­gara tertentu contohnya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Ke­satuan Eropah akan pantas menghantar bantuan makanan, terpapar dengan bendera masing-masing sebagai isyarat kehadiran dan pengaruh mereka di pentas dunia.
Satu lagi contoh, walaupun beras bukan makanan ruji Amerika Syarikat (AS), ia adalah pengeksport beras kelima terbesar dunia, kerana ia mahu membekalkan beras kepada negara yang bergantung kepadanya.
Kebanyakan beras yang dieksport oleh AS mendapat subsidi kerajaan sekali gus menjadikannya amat murah di pasaran dunia. Oleh yang demikian, negara seperi Ghana, satu ketika dulu membuat keputusan untuk meng­import beras ini untuk memenuhi 70 peratus daripada keperluan rakyat mereka. Mereka tidak melabur dalam sektor pertanian hingga kualiti beras mereka dikatakan amat teruk, dan menjejaskan pendapatan petani.
Ketika waktu krisis atau konflik pula, sekali lagi sejarah mengajar kita akan kepentingan makanan sebagai senjata untuk melumpuhkan lawan. Kekuatan mana-mana negara bukan sahaja ditentukan dengan saiz bala tenteranya, tetapi juga keupayaannya untuk mempertahankan bekalan makanan.
Malah jika rakyat sesebuah negara itu kebuluran, tidak perlu ada kuasa luar yang menyerang. Ledakan akan sendiri tercetus dari dalam.
Dalam jangka panjang pula, selain ke­cukupan makanan, kualiti makanan yang dihasilkan oleh negara juga penting.
Dalam hal ini, makanan memainkan peranan besar dalam pembangunan negara menerusi strategi nutrisi yang betul. Makanan yang dihasilkan menentu­kan kesihatan gaya hidup rakyat. Makanan yang dihasilkan hari ini menentukan tahap kecergasan fizikal dan ke­cerdasan minda generasi akan datang.
Sama ada kita mahu wujudkan gene­rasi bijak ICT yang mampu mene­rajui ekonomi digital, mahupun kita mahu wujudkan generasi pemain bola sepak yang mampu membawa negara ke Piala Dunia, penghasilan makanan dan strategi nutrisi mampu beri kesan yang besar.
Inilah yang kita katakan sebagai kedaulatan makanan iaitu hak se­sebuah negara itu untuk menentukan dan mengawal sumber dan penghasil­an bahan-bahan makanannya sen­diri, tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak luar.
Kedaulatan makanan menjadi salah satu asas kepada kekuatan negara tersebut.

Apakah konsep yang diketengahkan dalam HPPNK 2019?

SALAHUDDIN: HPPNK 2019 turut mengetengahkan konsep Pemodenan Pertanian dan Teknologi dalam industri agromakanan negara. Melalui kecanggihan teknologi, lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan dengan lebih efektif dan secara tidak langsung ia dapat menerajui kedaulatan makanan negara sekali gus menjadi­kan negara mengamalkan pertanian moden sepenuhnya menjelang 2030.
Antara yang menarik bakal di­pamerkan di HPPNK 2019 adalah dron yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan Internet of Things bagi menggalakkan industri pertanian Malaysia beralih kepada Internet-based Agriculture, menerusi penggunaan Teknologi Digital dan IR 4.0.
HPPNK 2019 turut mengetengahkan kepentingan pemodenan, tek­nologi dan inovasi pertanian dalam industri agromakanan negara.
Selain itu, konsep ini juga bertujuan untuk mewujudkan keyakinan masyarakat terhadap penyelidikan dan teknologi terkini dalam membangun dan meningkatkan industri pertanian negara.
Kali ini, HPPNK menyasarkan agar penduduk setempat dapat mengaplikasi segala teknologi pertanian yang diketengahkan untuk kegunaan pengeluaran hasil pertanian, juga tidak lupa untuk kemudahan dalam kehidupan seharian.
Bagi menyokong konsep ini, elemen teknologi dan kecanggihan inovasi pertanian kekal ditonjolkan di HPPNK 2019.
HPPNK 2019 dijangka menyediakan pelbagai ruang untuk perdagangan, pelaburan, kerjasama dan pemindahan teknologi di samping menjadi platform perkongsian idea untuk membangunkan import dan eksport pasaran sekaligus menjalin pakatan antarabangsa serta membina strategi untuk meningkatkan pasaran saingan.

Apakah harapan bagi penganjuran HPPNK 2019?

SALAHUDDIN: HPPNK 2019 yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di mana Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai agensi pelaksana, bakal memberi peluang dan ruang kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan melalui ekspo yang berlangsung sama ada melalui pemer­hatian dan pembelajaran dalam tekno­logi baharu pertanian, mencari ruang pasaran, mempamer serta mempromosi produk masing-masing.
Bagi pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan LPP sendiri, saya merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen kerajaan negeri ter­utamanya kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi.
Penganjuran sambutan seperti ini diharap dapat menarik minat golo­ngan muda menceburi bidang per­tanian dan memberikan semangat kepada golongan peladang, penternak dan nelayan kerana usaha ini boleh menjana pendapatan yang tinggi bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang pertanian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas