Berita

PPV baharu, tarikan minat penduduk terima vaksin

- Diterbit 18 Jun 2021 12:59 PM MYT

OPERASI Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (KML) tidak menang tangan apabila mencatatkan kehadiran 1,000 individu dari empat kampung disini untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, hari ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Labuan, Dzulfaizal Abd Manan berkata, lebih 500 individu hadir dalam tempoh dua jam PPV itu beroperasi.

Menurut Dzulfaizal, ia menunjukkan sambutan yang baik daripada penduduk kampung yang terlibat iaitu Kampung Ganggarak, Pohon Batu, Manikar dan Lubuk Temiang.

“Ini adalah hasil daripada kerjasama penduduk dan perkara ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama dari mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, hanya individu yang telah disenaraikan oleh MPP atau Ketua Kampung sahaja yang dibenarkan memasuki PPV bagi menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya turut membuka peluang kepada mereka yang tidak berdaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

” Ia berdasarkan slot yang ada dan jika terdapat individu yang telah didaftarkan tidak hadir maka kita akan memberikan kepada mereka bermula jam 3 petang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada individu yang belum mendaftar supaya membuat pendaftaran melalui Ketua Kampung dan MPP masing-masing bagi bersama merealisasikan sasaran imuniti berkelompok pada pertengahan Julai nanti.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas