Berita

TDA rangka strategi bantu pemulihan ekonomi negara

- Diterbit 18 Jun 2021 10:13 AM MYT

TECHNOLOGY Depository Agency (TDA) selaku agensi yang dimandatkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia telah merangka strategi pelaksanaan bagi membantu pemulihan ekonomi negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Sharoul Jambari, selaku agensi yang telah dimandatkan bagi melaksanakan Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme-ICP) strategi sudah dirangka mengikut tiga keutamaan.

“Strategi pelaksanaan telah dirangka mengikut tiga keutamaan iaitu peluang pekerjaan khususnya dalam bidang teknikal, kemahiran tinggi, dan berkepakaran termasuklah secara upskilling dan reskilling pasca COVID-19.

“Seterusnya, pembangunan kapasiti dan keupayaan khususnya melibatkan syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) termasuk padanan dan kerjasama strategik bersama pemain global.

“Akhir sekali, kolaborasi bersama inisiatif-inisiatif Kerajaan sedia-ada seperti Program Pembangunan Vendor (PPV), pembangunan teknologi, pengkomersialan dan sebagainya melalui kerjasama strategik,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ujarnya usaha ini amat memerlukan kerjasama yang erat antara TDA bersama pihak Kementerian dan pemain industri agar kepentingan bersama dapat dicapai.

Sharoul juga berharap sokongan berterusan daripada pihak Kementerian dan Agensi serta syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan pelaksanaan ICP terhadap perolehan-perolehan yang mampu memberi nilai tambah yang tinggi terhadap pembangunan negara dari segi pembangunan modal insan, teknologi, industri dan seterusnya merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Sharoul berkata TDA menyokong penuh usaha Kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan menyeru seluruh rakyat Malaysia bekerjasama agar pelan pemulihan ini dapat direalisasikan.

“TDA menyokong penuh usaha Kerajaan dengan melaksanakan mod bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya bermula sejak pengumuman PKP 3.0 selain daripada memastikan SOP pencegahan penyebaran COVID-19 di tempat kerja sentiasa dipatuhi.

“Pelan tersebut mempunyai empat fasa yang mana ditentukan oleh tiga indikator dan ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan pelan pemulihan ini berjaya direalisasikan sepenuhnya,” jelasnya. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas