Berita

PPTG WPKL roboh 20 gerai haram

ANTARA-gerai-haram-yang-dirobohkan-PPTG-WPKL-baru-baru-ini
ANTARA-gerai-haram-yang-dirobohkan-PPTG-WPKL-baru-baru-ini
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:17 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 gerai menjual pelbagai jenis bahan mentah termasuk buah-buahan diroboh selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram di tanah milik Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PPTG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Operasi Khas di bawah jejambat di Jalan Selayang Baru, Batu Caves berhampiran NSK Selayang di sini bermula pukul 9.30 pagi Selasa lalu turut melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang.

Difahamkan, gerai yang diroboh tersebut dibina di tapak sepanjang 150 meter dan berhadapan dengan deretan kedai makan.

Pegawai Kanan Penempatan PPTG WPKL, Junainah Ramly berkata, gerai-gerai tersebut terpaksa dirobohkan kerana perniagaan dijalankan di atas tanah kerajaan tanpa izin selaras dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Pada Februari lalu, kita telah menghantar notis meminta peniaga-peniaga terlibat mengosongkan tempat ini, tetapi mereka masih lagi berniaga dan ingkar dengan arahan yang diberikan.

“Oleh itu, tindakan tegas terpaksa diambil disebabkan ada projek pelebaran Jalan Selayang-Kepong yang tertangguh,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Junainah, sebelum ini, pihaknya telah melakukan tindakan penguatkuasaan di sebahagian tapak berkenaan tetapi terpaksa berhenti kerana mendapat tentangan daripada beberapa pihak berkepentingan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas