Berita

Satu juta kuntum bunga jadi tarikan

KHALID-kanan-merasmikan-pra-pelancaran-Royal-Floria-Putrajaya-2019-di-Taman-Botani-Presint-di-sini-baru-baru-ini
KHALID-kanan-merasmikan-pra-pelancaran-Royal-Floria-Putrajaya-2019-di-Taman-Botani-Presint-di-sini-baru-baru-ini
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:16 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

PUTRAJAYA – Orang ramai berpeluang menyaksikan sebanyak satu juta kuntum bunga­bungaan dari pelbagai spektrum warna lebih 500 jenis orkid dan lebih 100 koleksi bonsai pada Floria Dirajaya Putrajaya (RFP) 2019 yang bakal berlangsung bermula 31 Ogos hingga 8 September ini.

RFP yang memasuki edisi ke-11 kali ini juga membuat kelainan apabila ia dipindakan ke Taman Botani Putrajaya, Presint 1 dengan tema ‘Ibu Kepada Segala Taman’ dengan mengetengahkan orkid dan bongsai sebagai tema festival.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, dengan mengadakan festival bunga itu di lokasi baharu, ia dapat mempromosikan keunikan Taman Botani ke peringkat lebih tinggi.

“Secara tidak langsung kita boleh mempromosikan tarikan sedia ada di Taman Botani terutama keunikan koleksi tumbuh-tumbuhannya seperti heliconia, orkid dan etno botani di taman itu,’’ katanya ketika berucap merasmikan pra pelancaran RFP 2019 di Taman Botani Putrajaya baru­baru ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik.

Khalid berkata, festival tersebut juga bakal diwarnai dengan 79 penyertaan pameran taman melibatkan 12 agensi korporat, swasta dan kerajaan; tujuh persatuan dan pengusaha bunga; empat pereka bentuk taman; 25 sekolah; enam taman universiti dan institusi pengajian tinggi; 10 taman komuniti; lima dekorasi bunga terapung dan tiga Lembah Buah-Buahan FAMA serta enam peserta antarabangsa.

Katanya, buat tahun ini, buat kali pertama Jabatan Landskap Negara menjadi rakan penganjur bersama dan ia menjadi titik permulaan untuk PPj berkerjasama pada masa akan datang dalam menganjurkan Festival Bunga dan Taman di Malaysia kelak.

“Pada tahun ini, pihak PPj akan menampilkan Taman Diraja Pahang sebagai Royal Garden Showcase bersesuaian dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang merupakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,’’ katanya.

Pada tahun ini sebanyak lima buah negara menyertai RFP 2019 iaitu Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan Indonesia dengan anggaran seramai 500,000 pengunjung bakal membanjiri sepanjang sembilan hari berlangsungnya festival itu.

Bayatan tiket masuk adalah RM5 bagi warganegara dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas manakala RM10 bagi bukan warganegara.

Pembelian tiket boleh dibuat melalui laman web ticket.smart.putrajaya.my atau melalui aplikasi mobile.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas