Berita

PPR Pinggiran Bukit Jalil perintis pelupusan sampah pintar mesra alam

NOR HISHAM melihat kebuk pelupusan sampah menggunakan teknologi 'Eco-Smart High Temperature Pyrolisis' di PPR Pinggiran Bukit Jalil baru-baru ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 7:05 AM MYT

KUALA LUMPUR – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini dijadikan kawasan perintis bagi pelaksanaan teknik pelupusan sampah menggunakan teknologi ‘Eco-Smart High Temperature Pyrolisis’.

Projek tersebut menggunakan kaedah pelupusan sampah melalui kebuk bersuhu tinggi pintar dan mesra alam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata, penyelidikan bakal dilakukan ke atas projek berkenaan yang dilaksanakan selama tiga bulan bermula 1 Mac bagi melihat keberkesanannya.

“Melalui percubaan pelupusan sampah ini, kita akan melihat hasil kajiannya, sekiranya ia berjaya, maka kaedah tersebut boleh diguna pakai di setiap kawasan Parlimen.

“Kita mahu melihat impaknya kepada masyarakat, adakah ia boleh membantu menjimatkan kos dan memberi persekitaran yang baik,” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan KL Bersih Indah di PPR berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Nor Hisham berkata, penyelidikan itu merupakan salah satu daripada 19 program yang telah dijalankan melalui Pelan Tindakan KL Bersih Indah sepanjang tahun ini.

“Ia melibatkan lapan kluster iaitu Jom Buat Duit; Kesedaran Kebersihan; Insiatif Hijau; Sifar Sisa; Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2020-2025; Penguatkuasaan; Premis Bersih dan Sekolah Lestari.

“Pelan ini sebagai insiatif dalam merealisasikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bersih dan indah,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas