Berita

250 kontraktor G1 peroleh projek

NOR HISHAM menjalankan proses Cabut Kerja Undi Kontraktor G1 di Institut Latihan DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 7:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Rata-rata kontraktor kelas G1 yang terlibat dalam sesi Cabutan Kerja Undi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 3 Mac lalu berpuas hati dengan keputusan yang ditetapkan.

Salah seorang kontraktor, Sobahnur Sufia Ahmad Moktar berkata, dia berpuas hati dengan konsep pengundian yang dilaksanakan kerana proses yang dilakukan DBKL dibuat secara terbuka.

Pemilik syarikat Perniagaan Pagar Ayu itu berkata, konsep pengundian juga lebih telus dan jelas.

“Semua yang dilakukan di depan mata. Saya sudah lebih 11 tahun terlibat dalam bidang ini dan setuju dengan konsep cabutan undi DBKL,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, kontraktor Bina Wilayah Construction, Nor Azman Kamarudin turut menyatakan kaedah pengundian adalah lebih telus.

“Kalau buat macam ini, baru nampak ketelusan dan tidak akan ada orang yang boleh mendakwa ia terlibat rasuah atau pilih kasih,” katanya yang pertama kali berjaya memperoleh undi bagi melaksanakan kerja-kerja di bawah DBKL.

Bagi kontraktor Syarikat FRN Construction, Firoz Deen Mohd. Kamal pula, peluang yang berjaya diperolehnya itu akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Dia yang juga pertama kali berjaya mendapatkan projek kerja daripada DBKL selepas berdaftar lapan tahun lalu menyatakan, pihaknya memberikan jaminan akan mematuhi syarat-syarat projek seperti menepati tempoh masa yang ditetapkan.

Sementara itu, seorang lagi kontraktor kelas G1 yang enggan dikenali berharap maklumat terperinci berkaitan kerja-kerja yang ditawarkan dimaklumkan secara terus semasa serahan borang serta nombor.

“Kali ini, DBKL tidak menyatakan nombor dan nilai kerja yang ditawarkan. Saya bimbang ketidaktelusan berlaku seperti projek bernilai tinggi diberikan kepada orang rapat,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas