Berita

Pasukan sukarelawan indahkan perumahan

ROSIDA (dua dari kiri) bersama Rotina menanam anak pokok pada Sambutan Hari Landskap Negara 2020 di Taman Botani Perdana baru-baru ini. Turut kelihatan Nor Hisham (dua dari kanan).
- Diterbit 7 Mac 2020 6:54 AM MYT

KUALA LUMPUR – Setiap komuniti perumahan disaran agar menubuhkan pasukan sukarelawan untuk menyelenggara dan mengindahkan kawasan kejiranan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLAN), Rotina Mohd. Daik berkata, inisiatif tersebut membolehkan matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Taman Terindah dapat dicapai dengan rakyat mempunyai rasa cinta terhadap landskap.

“Setiap komuniti digalak menubuhkan sukarelawan bagi menjaga taman-taman di kawasan perumahan atau komuniti mereka serta boleh menjalankan aktiviti kebun komuniti,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Landskap Negara 2020 di Taman Botani Perdana di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

Rotina berkata, JLN juga menggalakkan pihak komuniti menubuhkan sebuah jawatankuasa Rakan Taman dan bersedia menyediakan peruntukan untuk menggerakkan aktiviti mereka.

“Setiap pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan digalakkan untuk menjalankan program dan aktiviti landskap melibatkan pemuliharaan dan pembangunan landskap dengan lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu sempena sambutan berkenaan, Majlis Bandaraya Johor Baharu memenangi tempat pertama Anugerah Inisiatif Negara Taman Terindah 2020 sekali gus membawa pulang geran bernilai RM1 juta manakala tempat kedua dimenangi Majlis Bandaraya Shah Alam yang menerima geran RM500,000. Tempat ketiga dimenangi Majlis Bandaraya Ipoh yang membawa pulang geran RM300,000.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas