Berita

PPR baharu bakal guna lif tahan lasak

DBKL LIF
NOR HISHAM mempengerusikan pertemuan bersama syarikat penyenggaraan lif bagi PPR/DBKL di Kuala Lumpur semalam. - Foto Ihsan DBKL
- Diterbit 4 Ogos 2019 12:59 AM MYT

HELMI MOHD. FOAD

KUALA LUMPUR – Penggunaan lif yang tahan lasak atau ‘heavy duty’ merupakan antara cadangan yang dikemukakan bagi jangka masa panjang untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada masa akan datang.

Jenis lif yang dicadangkan itu adalah seperti lif barang.

Perkara tersebut merupakan antara empat cadangan yang dikemukakan hasil pertemuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam bersama sembilan syarikat menyenggara lif yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja penyenggaraan 528 unit lif di semua PPR dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

Pertemuan tersebut diadakan susulan kejadian kerosakan salah sebuah lif penumpang di PPR Kerinchi yang berhenti secara mengejut dari tingkat lima ke aras bawah pada 2 Ogos lalu.

Pertemuan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan itu telah membincangkan pelbagai aspek dari segi pembekalan, penyenggaraan dan keselamatan secara menyeluruh.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu bertujuan untuk mencari penyelesaian yang terbaik antara kedua-dua belah pihak dalam memastikan keselamatan pengguna lif di PPR dan PA DBKL sentiasa menjadi keutamaan.

”Antara cadangan yang dikemukakan sebagai penambahbaikan pada masa hadapan iaitu mengadakan kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam menjalankan kerja-kerja penyenggaraan lif.

“DBKL dan syarikat menyenggara lif perlu mempunyai pekerja yang pakar dan mahir dalam bidang penyenggaraan lif di samping mengadakan latihan bersama pegawai teknikal DBKL,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, DBKL bercadang menempatkan wakil syarikat menyenggara lif di setiap PPR/PA bagi memudahkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kerosakan lif.

Kata kenyataan itu, DBKL meletakkan keselamatan pengguna lif di PPR/PA DBKL sebagai keutamaan dan sentiasa berusaha dalam memastikan kemudahan lif sentiasa berkeadaan terbaik dan selamat.

”Ini kerana kemudahan lif adalah untuk kegunaan semua penduduk PPR/PA yang menggunakan fasiliti tersebut secara bersama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas