Berita

Khalid arah semua lif diperiksa, elak kejadian berulang

LIF TERHEMPAS
PASANGAN suami isteri Noor Hasniza Jamaluddin (kiri) dan Johari Kamaruddin (dua kiri) menceritakan detik cemas yang dialami mereka selepas terlibat dalam kejadian lif terhempas di blok C, PPR Kerinchi semalam. FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 2 Ogos 2019 9:51 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mengarahkan semua lif di ibu negara khususnya di bangunan bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperiksa bagi mengelakkan kejadian lif terhempas berulang.

Tegas beliau, matlamat utama adalah dari segi analisa berhubung sistem lif dan punca berlakunya kemalangan seperti itu.

“Bila berlaku di sini, maka semua lif yang seusianya akan diperiksa supaya kejadian seumpama itu tidak berulang. Hanya dalam kes ini kita kena kenal pasti apa masalah yang sebenar.

“Secara teorinya memang tidak septutnya berlaku kerana lif itu ada beberapa ciri keselamatan untuk menjaga pengguna antaranya ‘safety gear’ atau ‘safety break’ yang mana break akan mencengkam apabila lif itu berjalan lebih laju daripada yang sepatutnya,” katanya selepas melawat mangsa lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, siasatan berkaitan masalah lif tersebut akan dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bersama pembuat lif dari Korea.

Jelas beliau, pihak pembuat akan turut serta kerana Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) masih sah sehingga 16 Januari tahun hadapan.

“Sijil masih valid sehinga januari 2020, masih ada tempoh enam bulan dan rekod penyelenggaraan juga didapati lengkap. Jadi kita siasat betul-betul punca dia.

“Soal tukar lif baru dan sebagainya itu kita akan lihat daripada hasil siasatan. Kabel-kabelnya sudah ditukar lebih kurang tak sampai 10 tahun dan asal lif ini dari 2007, tidak lama sangat, bukan 30 tahun lebih,” ujarnya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas